08 Mac 2012

Sukma: Terengganu sasar lima emas acara berbasikal

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MENYASARKAN sekurang-kurangnya lima emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, Julai depan, skuad berbasikal Terengganu menyenaraikan barisan pelumba terbaik menggalas cabaran tersebut.

Jurulatih pasukan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, 10 dari 24 pelumba dipilih adalah pelumba lama, termasuklah Mohammad Adiq Husaini Othman, Mohd Zulhilmi Nafiz Aamri, Nor Amirul Fakharuddin, Mohd Khairul Azizi Abdullah dan Saufian Naibih Umar Bakti.

“Lima lagi adalah pelumba wanita terdiri daripada pelumba yang mewakili negara dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Umi Hamimah Ahmad, Zaharah Anuar, Norain Mahmud, Nor Suhada Zainal dan Liana Atirah Zailani.

“Kita membuat pemilihan pelumba lebih awal supaya mudah mengatur persiapan menjelang Sukma ini,” katanya yang sedang merangka beberapa kejohanan di luar negara bagi pelumba menjalani latihan intensif.

Kembali menjalani latihan selepas perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, pelumba turut menjalani latihan tiga sesi dari awal pagi hingga petang bermula bulan depan sebelum menyambung latihan seterusnya di Temerloh, Pahang pada Mei nanti.

“Latihan di Temerloh supaya mereka dapat membiasakan diri dengan laluan yang akan digunakan di Sukma nanti,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: