08 Mac 2012

Peniaga uptown dakwa tertipu

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Peniaga Up­town Ba­zar Heritage Puchong di sini, mendakwa tertipu dengan janji manis syarikat yang menguruskan perniagaan itu kerana gagal mendapatkan lesen seperti dijanjikan ketika memulakan operasi premis berkenaan Julai tahun lalu.

Wakil peniaga, Sariffah Mat Nor Rashid berkata, apa yang dikecewakan ialah jawapan berdolak-dalik pihak pengurusan menyebabkan hampir kesemua peniaga kini bimbang masa depan mereka kerana diibaratkan seperti menjalankan perniagaan secara haram.

Menurutnya, lebih mengecewakan bayaran lesen perniagaan berkelompok yang dibuat setiap bulan kepada pihak pengurusan didakwa sudah digunakan untuk menaiktarafkan tempat letak kereta premis perniagaan itu.

“Dahulu peniaga di sini pernah disaman dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), meskipun pihak pengurusan membayarnya bagi pihak peniaga namun kami kecewa kerana lesen masih gagal diperoleh sehingga kini,” katanya.

Sariffah berkata, apabila dirujuk kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pihak itu memaklumkan bangunan perniagaan yang dibina dan menempatkan kira-kira 150 peniaga itu bila-bila masa sahaja boleh dirobohkan.

“Kami sudah mengeluarkan modal besar mengubah­suai lot, jika diruntuhkan bagai­mana jami­nan kepada kami.

“Apabila ditanya kepada pengurusan mengenai lesen, mereka kata lesen sudah ada, namun apabila diminta, mereka kata lesen masih dalam proses,” katanya.

Menurutnya, apabila dirujuk kepada MPSJ, pihak itu mengatakan lesen tidak akan dikeluarkan kerana bangunan tidak mendapat kelulusan.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya ketika menerima aduan daripada 15 peniaga berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi pada 28 Februari lalu untuk meneliti masalah dihadapi peniaga.

Menurutnya, peniaga mengadu tidak tahu status tanah sama ada dimiliki MPSJ atau tanah persendirian.

Beliau berkata, peniaga turut gusar mengenai bekalan elektrik disediakan kerana tidak tahu sama ada ia diiktiraf atau tidak kerana sumber pembekalannya dari tempat yang kurang pasti.

“Peniaga dijanjikan kemudahan lesen premis, elektrik, penyelenggaraan dan promosi sedangkan semua itu tidak ditunaikan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: