08 Mac 2012

Tempurung kepala pecah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LADANG GULA – Seorang kanak-kanak Nazatul Azura Mohamed Amin, 11, yang dahulunya seorang periang kini hanya mampu terlantar di katil akibat kecelakaan jalan raya dua bulan lalu sewaktu dia dalam perjalanan ke sekolah.

Kejadian malang itu bukan sahaja menimpa Nazatul, malah adiknya, Abdul Jamil, 9, dan bapanya, Mohamed Amin Eman turut tercedera dalam kemalangan berkenaan.

Ibunya, Julina Saudi berkata, apa yang menyayat hati apabila anak perempuannya, Nazatul masih belum pulih dan telah disahkan oleh doktor Nazatul akan mengalami kecacatan seumur hidup.

“Ketika di hospital, doktor terpaksa mengeluarkan tempurung kepala Nazatul yang pecah sewaktu dirempuh dalam kemalangan itu kerana ia tidak berfungsi lagi.

“Kini, dia terlantar di katil dan tidak mampu berbuat apa-apa, hanya diberi minum susu setiap beberapa jam,” katanya yang juga surirumah sepenuh masa.

Julina berkata, Jamil pula mengalami patah tulang belakang manakala suaminya mengalami masalah pendengaran sehingga kini.

“Semenjak kejadian itu, saya terpaksa membawa ketiga-tiga mereka berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

“Bagaimanapun, suami dan anak lelaki saya semakin beransur pulih walaupun turut menerima rawatan sehingga kini,” katanya. Tambah Julina, suaminya baru dua hari bekerja setelah cuti panjang kerana kemalangan terbabit.

“Suami saya yang beransur pulih kini bekerja semula sebagai operator di sebuah kilang memproses kelapa sawit di sini namun dia tidak mampu melakukan kerja-kerja berat seperti sebelumnya,” katanya.

Bagi Amin, kemalangan ngeri yang menimpanya tiga beranak itu masih jelas di ingatan dan dia sering trauma apabila setiap kali mengenangkannya.

“Saya memang trauma setiap kali terkenang peristiwa hitam itu,” katanya.

Menampung kos perubatan Tambahnya, walaupun masih belum pulih sepenuhnya dia terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan Nazatul sebanyak RM2,000 sebulan.

“Dengan pendapatan RM500, saya terpaksa menampung perbelanjaan sebanyak RM1,200 untuk susu dan RM500 untuk lampin pakai buang Nazatul.
Kos keseluruhan bagi setiap bulan untuk merawat dan menjaga Nazatul melebihi pendapatannya setiap bulan.

“Saya amat berharap agar pihak yang bersimpati dan dapat menghulurkan bantuan seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bebanan yang kami sekeluarga tanggung dapat diringankan,” katanya.

Kepada mereka yang prihatin dan mahu menghulur sumbangan bolehlah menyalurkan sumbangan dengan datang sendiri ke rumah Amir di alamat NL14, Ladang Gula, Kuala Gula, Kuala Kurau, di sini.

“Harapan saya sekeluarga ada pihak sudi menghulurkan sumbangan meringkan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Terdahulu, Amin menceritakan detik kemalangan ngeri yang berlaku apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Setelah dirempuh kereta, kami tiga beranak diheret sejauh kira-kira 100 meter dan menyebabkan saya tercampak ke dalam parit dan pengsan manakala kedua-dua anak saya, Nazatul dan Jamil terus diheret lebih jauh.

“Selepas kejadian itu, Jamil mengalami patah tulang belakang manakala keadaan Nazatul lebih serius,” katanya. Tambah Amin, saraf otak Nazatul terganggu dan doktor telah mengesahkan peluang untuk sembuh sepenuhnya amat tipis.

“Doktor meminta kami membawa Nazatul pulang ke rumah dan dia perlu menjalani rawatan susulan di hospital secara berkala.

“Keadaan Nazatul yang tidak mempunyai tempurung kepala membuatkan otaknya tidak berfungsi dengan normal.

“Bukan itu sahaja, malah kaki kanannya patah dan mata kanannya juga tidak boleh dibuka, hanya mata sebelah kiri sahaja yang boleh dibuka sedikit,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: