08 Mac 2012

Van, kereta bertembung, 10 cedera

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JELI – Seramai 10 cedera apabila van dan kereta jenis Honda bertembung dekat Kilometer 2 Jalan Jeli Dabong, dalam kejadian jam 8.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kejadian berlaku apabila van yang datang dari arah Dabong hendak membelok masuk untuk mengisi minyak dekat stesen berdekatan.

“Pemandu van tidak menyedari ada sebuah kereta jenis Honda dari arah pekan Jeli menuju ke Belahat ketika sedang membelok, menyebabkan dua kenderaan tersebut bertembung.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan 10 mangsa yang berada dalam van tersebut cedera parah di mana penumpang dan pemandunya tersepit, manakala pemandu kereta Honda Mohd Farizi Mohd Shakri ,19, cedera parah di kepala,” katanya.

Antara yang cedera, pemandu van Abdul Majid Awang, 55, penumpang, Faridah Said. 50, Fatimah Yusof, 82, Esah Salleh, 67, Che Som Ab Rahman, 77, Dalila Diana Nik Shamsuddin, 20, Hasiah Husin, 52, Mek Yah Samad, 68, Jah Awang, 83, Rafiah Ab Rahman,70.

Sheik Azhar berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai dan Tanah Merah untuk menerima rawatan lanjut.

“Difahamkan ketika cuba membelok untuk mengisi minyak, pemandu van tersebut tidak menyedari ada sebuah kereta sedang meluncur laju dari arah bertentangan.

“Saya minta supaya semua pengguna jalan raya berhati-hati ketika memandu dan sentiasa peka dengan keadaan lalu lintas di sekitar,” katanya .

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah seksyen 43 (1) akta pengangkutan jalan 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: