18 Mei 2012

Berpusing sebelum terbakar

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERAI – Seorang lelaki berhadapan dengan detik cemas selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam satu kejadian, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 30an itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika melalui Kilometer 139 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara, dekat susur keluar Perai lalu melanggar pembahagi jalan.

Akibat rempuhan kuat itu, kenderaan mangsa kemudiannya berpusing melawan arus sebelum terbakar.

Bagaimanapun, mangsa yang tidak diketahui identitinya itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan diselamatkan orang awam yang menghantarnya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejurus kemudian untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Perai, Timbalan Penguasa Bomba A’azelan Hassan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.54 pagi mengatakan ada sebuah kereta sedang terbakar di lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba enam minit kemudian.

“Kemalangan membabitkan seorang lelaki Cina berusia lingkungan 30an. Kebakaran mengakibatkan kenderaan mangsa musnah 100 peratus. Namun, mujur mangsa sempat diselamatkan orang awam yang terlihat akan kejadian.

“Kita berjaya mengawal api dalam masa dua minit dan padam sepenuhnya pada jam 5.10 pagi,” katanya yang tidak kemungkinan mangsa memandu dalam keadaan mabuk.

A’azelan berkata, setakat ini punca kebakaran belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan bagi tujuan itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: