18 Mei 2012

Kenapa DBKL 'main wayang' dengan 'protes burger'?

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan hari ini menuntut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail memberi penjelasan ekoran membenarkan 'protes' penjual burger di hadapan rumah Datuk S.Ambiga minggu lalu.

Desakan itu dimuatkan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pegawai Khas Datuk Bandar Md Aznan Md Zain pagi tadi.

Turut serta dalam penyerahan itu Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, wakil PKR Fahmi Fadzil dan PAS Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Memorandum tersebut dihantar sebagai tanda bantahan terhadap sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang lambat bertindak menghalang perkara itu berlaku.

Menurut Lim Lip Eng, DBKL sepatutnya peka kerana ia melanggar Akta Jalan Parit Bangunan 1974 kerana membuat kacau ganggu di jalan keluar masuk kediaman individu, menggangu privasi ketenteraman individu.
Sementara itu, Fahmi meminta Ahmad Fuad memberi penjelasan apakah tindakan selanjutnya akan diambil oleh DBKL jika tindakan perhimpunan dan gerai burger itu melanggar peraturan-peraturan DBKL.

"Sekiranya perbuatan tersebut adalah salah, apakah tindakan selanjutnya yang perlu diambil oleh DBKL," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Suhaimi meminta agar pihak polis, DBKL menjalankan tugas mereka dan bertindak segera.

"Kita tidak mahu perkara ini terus berulang dan pihak polis mahupun DBKL perlu bertindak dengan tegas.

"Saya menyifatkan apa yang dilakukan oleh kumpulan tersebut adalah bersikap dendam terhadap pengerusi Bersih itu dan lebih menjurus kepada serangan peribadi," katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) telah mencetuskan kontroversi apabila bertindak membuat 'protes burger' di hadapan rumah Ambiga yang juga merupakan seorang peguam.

Harakah Daily

Tiada ulasan: