18 Mei 2012

Penyamun sorok hasil dalam rumah

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seorang lelaki ditahan polis bersama wang RM10,000 hasil samun melibatkan kes di Bachok, jam 10.40 pagi, semalam.

Suspek, Mohd Nizam Abd Manaf, 32, ditahan di rumahnya dekat Kok Lanas, bersama wang dan beberapa pil dipercayai dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dua rakan suspek yang turut terlibat dalam beberapa kejadian samun itu juga berjaya ditahan di daerah berbeza, kelmarin.

“Nizam merupakan ketua kumpulan samun, mengaku terlibat dalam tujuh kes samun di Bachok, dalam masa tiga hari.

“Modus operandi mereka menggunakan senjata dan meletakkan pisau di leher mangsa ketika melakukan jenayah,” katanya semalam.

Jalaludin berkata, tiga hari lalu, seorang suri rumah di Kampung Kandis, Bachok kerugian kira-kira RM10,000 apabila wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit disamun.

Menurutnya, kesemua suspek direman dan siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Jalaludin turut mengetuai aktiviti ‘walkabout’ bersama pegawai dan anggota polis Pasir Mas.

Beliau meluangkan masa hampir dua jam, berjalan kaki bermula Stadium Mini sehingga ke dataran Kereta api Pasir Mas, untuk bertemu peniaga dan penduduk Pasir Mas.

Jalaludin berkata, pihaknya sentiasa mendengar luahan serta aduan penduduk, dan mengambil serius bagi menangani masalah yang timbul.

Sinar Harian

Tiada ulasan: