18 Mei 2012

BAM sangkal dakwaan Yong Sung

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menafikan dakwaan bekas Jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Yoo Yong Sung berikutan kenya­taan pedas yang dilemparkan kepada badan induk itu, kelmarin.

Dakwaan kononnya jurulatih Korea Selatan itu tidak diberi peluang dan hak melatih pemain tertentu dikatakan tidak benar, sebaliknya mendakwa peletakan jawatan Yong Sung dibuat selepas BAM menolak permintaan menaikkan gaji beliau.

Menurut BAM, awal Mac lalu, Yong Sung mengadakan perte­muan dengan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh meminta gajinya dinaikkan selain memohon pemain tertentu berada di bawah kendaliannya.

Ketua Jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her kemudiannya mengadakan perbincangan dengan semua jurulatih beregu termasuk Yong Sung bagi menentukan peranan mereka.

“Hasil mesyuarat jurulatih beregu lelaki pada 20 Mac lalu, Yong Sung ditugaskan melatih pemain antaranya Mak Hee Chun, Teo Kok Siang, Chooi Kah Ming dan Ow Yao Han.

“Yong Sung sekali lagi bertemu pengurusan BAM dan meminta perkara sama ditunaikan dan ini permintaan beliau untuk kali ketiga,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Menurut BAM, penjelasan sudah dibuat kepada Yong Sung, termasuk menetapkan senarai pemain untuk setiap jurulatih, selain menambah baik program kejurulatihan dan peranan mereka untuk pertandingan antarabangsa.

Manakala permintaannya untuk kenaikan gaji akan diusul pada mesyuarat Exco 27 April, lalu. Bagaimana mesyuarat memutuskan untuk menyambung kontrak tetapi tiada sebarang kenaikan gaji dibuat.

“Disebabkan itu, dia meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berasingan semalam, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong enggan mengulas lanjut masalah dalaman BAM.

“Saya tidak ada terima apa-apa laporan daripada BAM mengenai perkara itu. Biarlah mereka selesaikan masalah mereka sendiri,” katanya kepada media di Bukit Jalil, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: