18 Mei 2012

Warga emas ditahan, 1,013 DVD haram dirampas

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang warga emas berusia 62 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan cakera video digital (DVD) cetak rompak di Taman Cempaka, di sini, semalam.

Pengarah Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak, Zaki Mohamed berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.20 petang itu, pihaknya turut merampas sejumlah 1, 013 DVD yang dianggarkan bernilai RM7,100.

“Lelaki yang merupakan pekerja di premis berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Zaki berkata, kebanyakan DVD pelbagai tajuk filem serta drama dari Korea, China dan keluaran tempatan itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.

“Kesemua rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan sijil Perakuan B,” katanya.

“Sehubungan itu, kita galakkan orang ramai khususnya di taman perumahan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa agar gejala ini dapat dibanteras dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: