18 Mei 2012

Helah untuk raih pelanggan

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Terdapat restoran 24 jam mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran sebagai helah untuk mengaburi pelanggan, sedangkan premis berkenaan tidak memiliki sijil Halal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Yusree Ihsan berkata, restoran itu bukan sahaja tidak menggunakan sijil dan logo Halal, malah majoriti pekerjanya adalah warga asing bukan beragama Islam.

“Lawatan kita pada kali ini lebih kepada memberi amaran dan kesedaran kepada pemilik premis supaya memberi perkhidmatan menjual makanan yang mempunyai sijil dan logo Halal.

“Kita mahu semua pemilik premis menjual makanan memohon sijil Halal supaya orang Islam tidak terkeliru dan boleh menjamu selera di restoran berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan beberapa jabatan kerajaan lain itu adalah untuk memastikan premis menjual makanan mempunyai logo Halal.

Yusree berkata, sebuah premis daripada keseluruhan lapan yang dibuat pemeriksaan sepanjang lebih tiga jam operasi itu telah dikenakan kompaun kerana masih menggunakan sijil Halal yang telah tamat tempoh.

Menurutnya, mempamerkan ayat al-Quran menjadi satu kesalahan kerana boleh mengelirukan orang ramai dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jika didapati bersalah, pemilik premis berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 jika milik persendirian atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pemilik juga boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya melakukan kesalahan berulang buat kali kedua,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: