18 Mei 2012

Daftar pemilih: JPN, SPR jangan ‘pekak badak’

26 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebagai ‘pekak badak’ dan degil kerana masih lagi tidak mengambil peduli terhadap bantahan rakyat terhadap daftar pemilih yang masih ‘kotor dan tidak bersih’ dan perlu segera dibersihkan sebelum pilihanraya umum ke 13.

“Sehingga hari ini masih ada lagi kes-kes yang meragukan di dalam daftar pemilih dan ianya akan terus dibongkarkan oleh Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia,” kata Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar).

Beliau berkata, pihaknya cukup risau dengan kes terbaru yang melibatkan ‘kecuaian’ JPN dan SPR telah menimpa Puan Tamil Malar a/p Subramaniam yang telah kehilangan hak beliau sebagai pengundi berdaftar kepada Mansor bin Jali kerana masing-masing mempunyai no kad pengenalan yang sama, 750516085360.

Selain itu tempat mengundi masing-masing pun berbeza dengan seorang pengundi di Perak dan Melaka.

Katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat ‘kecuaian’ yang berlaku adalah disebabkan sikap tidak serius JPN dan SPR di dalam memastikan pilihanraya yang akan datang berjalan dalam suasana yang telus ataupun itu adalah salah satu ‘bantuan’ daripada pihak-pihak agensi kerajaan untuk membantu kemenangan Umno dan Barisan Nasional.

Justeru, ujarnya lagi Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak menolak kemungkinan kes-kes sebegini juga berlaku di negeri-negeri lain.

Oleh itu, kata beliau Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta JPN dan SPR supaya jangan mengkhianati amanah rakyat untuk mendapatkan satu pilihanraya yang telus dan adil.

Tambahnya, JPN dan SPR perlu menjadikan diri sebagai agensi yang berwibawa dan tidak mudah menjadi lembu yang dicucuk hidung semata.

“Selain itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan kepada jentera pilihanraya di peringkat pemuda negeri dan kawasan-kawasan untuk melakukan semakan terhadap pengundi-pengundi sedia ada dan melaporkan sekiranya berlaku kes-kes yang meragukan supaya dapat diambil tindakan segera,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: