24 Mei 2012

Chong Wei mungkin dirawat luar negara

3 Rejab 1433H. [MOD] -

Chong Wei mungkin dirawat luar negara
PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mungkin akan dihantar ke luar negara untuk menjalani rawatan sekiranya tiada alternatif lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia merupakan jalan terbaik buat pemain harapan negara menghadapi Olimpik London untuk merawat kecederaan di bahagian buku lali kanan.

"Kita akan melakukan yang terbaik buat Chong Wei untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya.

"Sekiranya tiada kemudahan terbaik untuk membantu tidak mustahil kami akan menjalani latihan di luar negara.

"Oleh itu, saya berharap semua rakyat Malaysia dapat mendoakan semoga beliau segera pulih untuk beraksi di kejohanan Olimpik nanti," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlam Abd Aziz berkata, walaupun laporan awal daripada doktor yang merawat pemain itu di Wuhan hanya mengambil masa tiga atau empat minggu, namun keputusan itu akan ditentukan selepas Chong Wei menjalani rawatan lanjut.

"Buat masa ini sukar untuk kita tentukan tahap kecederaan beliau. Tetapi gambaran yang diberikan untuk pulih dalam tempoh berkenaan adalah munasabah dan akan digunakan sebagai panduan.

"Bagaimanapun kita akan dapat gambaran yang lebih tepat selepas menerima laporan imbasan ujian Magnetik Resonance Image (MRI)
nanti," katanya pada sidang media ketika menyambut kepulangan Chong Wei di KLIA, sebentar tadi.

Menurut Dr Ramlan, pihaknya memerlukan masa satu atau dua hari untuk membuat keputusan berhububg rawatan yang diperlukan selepas mendapat keputusan laporan MRI tersebut.

"ISN juga akan turut meminta bantuan daripada beberapa pakar lain termasuk fisioterapi dan juga pakar tulang untuk berusaha membantu Chong Wei mengembalikan kecergasannya," tambah beliau.

Kelmarin, Chong Wei terpaksa menarik diri dari meneruskan persaingan ketika menentang Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pusingan Kumpulan C.

sinar harian/-

Tiada ulasan: