24 Mei 2012

Mustapa kena tanya artis kenapa sokong PAS

3 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Datuk Seri Mustapa Mohamed ketinggalan keretapi dari sudut memahami ajaran Islam walau pun sudah lanjut usia, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

“Pemahaman Islam, politik dan dakwah masih lagi kabur. Macam mana beliau hendak menjadi Menteri Besar Kelantan sekiranya tasawwur Islam masih kabur,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mempersoalkan kenapa perlu memisahkan Islam dengan politik dan dakwah.

“Bukankah perkara ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain?

“Jika artis boleh faham, kenapa beliau tidak boleh faham,” ujarnya.

Jelasnya, artis yang memilih PAS kerana dasar parti itu ialah Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal 3.

Soalnya, kalau artis yang berhijrah kepada PAS maka dianggap berpolitik, bagaimana pula artis yang bersama Umno.

“Saya pernah dimaklumkan oleh Bob Lokman sewaktu beliau membantu kempen Umno pendapatan begitu lumayan, sedangkan beliau bersama dengan PAS ialah untuk memberi sumbangan kepada perjuangan Islam melalui wadah PAS.

“PAS tidak menjanjikan apa-apa habuan dunia,” jelasnya lagi.

Sepatutnya, kata beliau Mustapa kena kaji kenapa artis boleh beralih kepada PAS.

Beliau berkata, Mustapa perlu melihat balik apakah Umno masih relevan dari segi perjuangan bangsa atau agama.

“Kenapa Islam tidak dihayati oleh pemimpin Umno, malahan akhlak dan perkara asas aurat tidak ada peningkatan.

Menurutnya, mungkin Mustapa merasa pelik, ketika pemimpin Umno dan media Umno mengatakan PAS ajaran sesat dan berbagai label dilemparkan namun semuanya tidak mengurang sokongan kepada PAS termasuk artis.

“Kenapa mereka menjauhkan diri dengan Umno?

“Ini yang sepatutnya dikaji oleh beliau,” ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: