24 Mei 2012

Hasrat naik pelamin musnah

3 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA PAKA - "Sejak mengikat tali pertunangan dengan gadis yang disukainya, dia mula menyimpan wang untuk mendirikan rumah tangga, namun saya tidak menyangka hasratnya untuk naik pelamin hujung tahun ini tidak kesampaian.” Demikian kata Lini Omar, 33, kakak kepada arwah Wan Mohd Paizan Wan Muhammad Nor, 26, ketika di temui di Unit Forensik Hospital Dungun, petang kelmarin.

Mohd Paizan meninggal dunia setelah terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Kerteh.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang di Kilometer 97, Jalan Kuala Terengganu- Kuantan berdekatan jambatan Paka itu, mangsa yang juga seorang pekerja kontrak di kawasan industri petroleum dekat Kerteh maut selepas dilanggar sebuah motosikal lain dari arah belakang.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Paka menghala ke Dungun bersama abangnya, Wan Azmi, 31, dikatakan terjatuh dari motosikal ketika cuba mengelak sebuah motosikal lain di hadapannya yang dipercayai membrek secara tiba-tiba.

Sebuah motosikal dari arah sama kemudiannya melanggar mangsa menyebabkan dia mengalami cedera di bahagian leher dan meninggal serta merta di tempat kejadian.

Menceritakan kisah arwah, Lini berkata, arwah adiknya itu, seorang pekerja swasta dengan syarikat petroleum di kawasan Industri Paka Kerteh sebelum ini mengikat tali pertunangan dengan Siti Khadijah Hassan, 22.

"Mereka bakal melangsungkan perkahwinan dengan Siti Khadijah yang berasal dari Bachok, Kelantan pada hujung tahun ini," katanya.

Lini berkata, ahli keluarga merestui hubungan mereka dan arwah mula berjimat ketika berbelanja kerana ingin mengumpul wang untuk majlis perkahwinan dengan gadis yang bekerja sebagai jururawat sebuah hospital di Kedah itu.

“Saya dapat tahu berita mengejutkan itu setelah dihubungi ahli keluarga. “Ketika kejadian, tunangnya mungkin belum tahu berita buruk ini, kalau dia tahu, tak tahulah bagaimana perasaannya kerana mereka berdua saling menyintai,” kata Lini yang masih sugul dengan pemergian adiknya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Mayat mangsa yang dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di Gong Pasir untuk upacara pengebumian.

Abang mangsa, Wan Azmi yang membonceng motosikal bersama arwah bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: