24 Mei 2012

Tekad sarung kembali jersi T-Team

3 Rejab 1433H. [MOD] -

"MINAT saya terhadap bola sepak tidak pernah padam. Malah, saya masih menaruh harapan yang tinggi untuk diserapkan kembali menyarung jersi dan bermain untuk pasukan.

Demikian rintihan Mohd Zuhairie Ahmad Tarmizi, 22, bekas pemain bola sepak Piala Presiden T-Team musim lalu.

Mohd Zuhairie sebelum ini menggemparkan negara apabila kesemua lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin tebu dalam satu kejadian pada 7 Ogos tahun lalu.

Apa yang menyedihkan, kejadian itu berlaku sewaktu dia membantu abangnya, Zuhaimy berniaga air tebu di Bazar Ramadan Bandar Marang bagi mencari duit lebih, sebagai persiapan hari raya.

“Kehidupan saya kini berubah sama sekali dan saya harus cuba menyesuaikan diri dengan keadaan diri sekarang. Sesekali jika rindu bermain bola sepak, saya bermain bersama rakan-rakan sekampung di Rhu Muda, Marang.

“Saya sangat berharap jika masih diberikan kepercayaan, saya ingin kembali bermain bola sepak. Ia ibarat peluang kedua untuk saya beraksi di padang,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Sebelum itu, Mohd Zuhairie menerima RM20,000 daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai bantuan kecederaan setelah dia mengalami kecacatan kekal iaitu hilang jari tangan kanan akibat peristiwa tersebut.

Ketika ditanya perancangannya dengan duit bantuan itu, Mohd Zuhairie berkata, dia ingin menggunakan wang itu bagi memulakan
perniagaan.

“Sekarang ini saya membantu ibu di kedai makan. Mungkin duit ini akan digunakan untuk membesarkan kedai makan ibu dan menambah modal sedia ada kerana ia menjadi mata pencarian saya sekarang,” katanya lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: