24 Mei 2012

Makin ramai sertai PAS ketika dituduh negatif

3 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Penyertaan Datuk Fauzi Shaari ke dalam PAS membuktikan PAS semakin relevan di hati rakyat dan diterima baik oleh rakyat pelbagai peringkat,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor (gambar).

Sehubungan itu, katanya DPPM mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan penyertaan Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ke dalam PAS.

Katanya, keberanian Fauzi melangkah ke dalam PAS secara terang-terangan wajar dicontohi oleh rakyat yang mahu melihat perubahan dalam negara ini.

Menurutnya, meskipun pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap PAS dengan tuduhan yang negatif, ia tidak mematahkan hasrat rakyat mendekati dan memasuki PAS secara berbondong-bondong.

Malah, ujarnya lebih banyak tuduhan buruk kepada PAS melalui media dibuat, semakin ramai menyertainya.

“Ternyata kempen memburukkan PAS secara besar-besaran telah gagal kerana rakyat semakin celik maklumat dan tahu realiti sebenar,” ujarnya.

Katanya, ia juga sebagai bukti bahawa Umno telah gagal dalam memastikan pembelaan rakyat khususnya umat Islam dan bangsa Melayu sewajarnya.

Menurut Riduan, segala dasar dan tindakan mereka selama ini gagal memaut hati rakyat agar memberikan kepercayaan kepada mereka.

Rakyat pula, tambahnya semakin mempersoalkan kemampuan Umno membela nasib umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini dalam keadaan gejala keruntuhan akhlak dan akidah semakin menjadi-jadi manakala hukum Islam dijadikan bahan guraun sahaja.

Beliau menambah, rakyat juga sudah muak melihat telatah pemimpin negara yang melakukan kemungkaran secara terang-terangan seperti rasuah, penyelewengan kuasa, ketirisan, pemborosan serta pelbagai skandal yang memalukan negara.

Dalam pada itu, katanya DPPM pula menganggap kenyataan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri yang mendakwa tindakan Datuk Fauzi sebagai mengkhianati kerajaan dan mengguris hati golongan bekas polis sebagai tidak wajar.

“DPPM menegaskan, sebagai sebuah negara demokrasi, beliau perlu menghormati hak individu lain untuk menyertai mana-mana parti politik yang di sukainya,” ujarnya.

PAS, jelasnya bukan sebuah pertubuhan haram, ia adalah sebuah parti politik yang berdaftar di negara ini sejak tahun 1951.

“Lebih dari itu, perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam.

“Tidak ada salahnya insan seperti Datuk Fauzi menyertai PAS, malah beliau patut dipuji kerana mahu bersama sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam,” katanya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: