24 Mei 2012

Kejutan lelaki bertopeng

3 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Satu keluarga mengalami kerugian hampir RM20,000 apabila rumah mereka dimasuki perompak di Taman Seremban Jaya, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, S Maliga, 55, bersama empat anaknya termasuk seorang lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30-an sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah.

“Ketika kami sekeluarga menonton televisyen, tiba-tiba muncul seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki rumah.

“Lelaki itu kemudian mengarahkan kami diam sebelum datang empat lagi lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Maliga berkata, semua lelaki dipercayai berusia lingkungan 30-an itu mengarahkan ahli keluarganya memberi kerjasama dan mengikut arahan agar tidak dicederakan.

“Mereka menggeledah barang dalam bilik dan meminta barang berharga daripada kami.

“Kerana takutkan dicederakan, kami mengikut arahan mereka dan menyerahkan barang kemas, wang dan telefon,” katanya.

Menurutnya, semua lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang menunggu di hadapan rumah.

“Kami sekeluarga rugi hampir RM20,000 selepas barang kemas, wang tunai RM800, tiga telefon bimbit dan kad kredit dilarikan penjenayah.

"Berikutan kejadian ini, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Senawang," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, P Gunasekaran berkata, kawasan perumahan tersebut sering menjadi sasaran penjenayah kerana kurangnya aspek keselamatan.

“Diharap polis melakukan pemeriksaan berkala di kawasan ini bagi mengelak kejadian seperti ini berulang.

“Pondok polis juga wajar dibina bagi membolehkan penduduk membuat aduan dan berinteraksi dengan anggota polis,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: