24 Mei 2012

Piala FA: Kelantan setuju beri hadiah

3 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju pada dasarnya untuk memberi hadiah kepada skuad bola sepak Kelantan yang berjaya menjulang piala FA baru-baru ini selepas menewaskan Sime Darby.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sebelum ini kerajaan negeri pernah memberi wang sagu hati termasuk membawa pemain mengerjakan umrah.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk hadiah yang bakal diberikan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Pasar Kota Jembal, Pulau Melaka, dekat sini semalam.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood, ketika memberitahu media tidak mahu mendahului Tuan Guru dalam menyatakan keputusan itu.

Katanya, ada baiknya kenyataan berhubung perkara itu diumumkan sendiri oleh Tuan Guru.

Fattah ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kelmarin supaya dapat membawa Piala FA dalam majlis perasmian Sambutan Hari Anak Muda Kelantan 2012 di Pantai Irama, Bachok pagi tadi.

Sambungnya, majlis perasmian program itu akan diadakan pada petang esok (ini) oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berharap pihak Kafa dapat memenuhi permintaan kerajaan negeri supaya ia dapat ditunjukkan kepada Tuan Guru pada majlis itu.

"Setakat ini belum ada jawapan daripada pihak Kafa berhubung surat yang dihantar pagi tadi (semalam), tetapi kita harap mereka dapat membawa Piala FA itu pada majlis sambutan Hari Anak Muda Kelantan di Bachok nanti.

Jelasnya, tidak ada sebab piala itu tidak boleh dibawa ke majlis Himpunan Anak Muda Kelantan, kerana ianya milik semua pihak, terutama anak muda dan bukannya milik individu.

"Saya harap Piala FA yang dimenangi pasukan Kelantan itu dapat dilihat secara dekat oleh anak muda Kelantan yang hadir dalam program bersama Tuan Guru,” ujarnya.

Beliau tidak menafikan, kemungkinan satu pengumuman penting akan dibuat pada majlis itu.

Pada 19 Mei lalu, Kelantan berjaya membawa pulang Piala FA selepas kemarau selama 22 tahun setelah The Read Warriors berjaya menewaskan Sime Darby menerusi tendangan penalti oleh Mohammed Mahmoud Ghaddar pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harakah Daily

Tiada ulasan: