20 Jun 2012

Debat: PAS harap ramai pemimpin negara dijemput

30 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, debat adalah satu medan terbaik untuk nyatakan pendirian serta pemikiran.

"Saya harap lebih ramai lagi pemimpin negara dapat dijemput untuk program seperti ini dalam membawa fakta yang jelas serta hujah.

"Konsep ini dapat menamatkan terus budaya politik samseng tidak sihat yang mana sekarang telah menular di negara kita," jelas beliau pada sidang media selepas menyertai debat bertajuk 'Demonstrasi Jalanan: Meruntuh atau Mengukuhkan Demokrasi' dengan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah di sini, malam tadi.

Debat anjuran akhbar Sinar Harian itu dipengerusikan oleh pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, debat merupakan pentas terbaik untuk menampilkan pemikiran yang terbaik dalam membentuk kerangka amalan demokrasi negara ini.

Ketika berhujah pada debat itu, beliau amalan demokrasi hanya dilakukan di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Kita melihat demonstrasi yang dilakukan oleh Umno di Pulau Pinang mahupun Selangor, mereka bebas melakukan apa sahaja sebagai meluahkan apa yang mereka nak.

"Kita benarkan malah tidak ada langsung kita berikan sambutan tersebut dengan gas pemedih mata mahupun pukulan belantan," jelasnya.

“Inilah yang kita akan lakukan apabila mengambil alih pemerintahan di Putrajaya nanti,” jelasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: