20 Jun 2012

Hormati keputusan majoriti rakyat Mesir

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengambil maklum tentang kejayaan yang dilakar calon Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP), Dr. Muhammad Morsi menerusi peratusan undi melebihi 50 peratus di dalam keputusan Pilihanraya Mesir yang paling mutakhir.

“Kami juga bersama dalam mengucapkan tahniah kepada Dr. Muhammad Morsi yang dipilih majoriti rakyat Mesir dan menyaksikan sokongan menyeluruh kumpulan konservatif dan juga kelompok sekular atas nama demokrasi,” ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Bukit Bendera dan Kuala Selangor, Nurul Izzah Anwar, Liew Chin Tong dan Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kata mereka, keputusan itu dicatat oleh Parti FJP di dalam suasana tegang yang menyaksikan pengumuman Menteri Keadilan lantikan tentera Mesir yang mengumumkan darurat, justeru memberi kuasa penuh kepada Tentera Mesir sekaligus membubarkan parlimen.

Pun begitu, ujar mereka dokongan dan undi majoriti yang masih diraih Dr. Morsi membuktikan iltizam warga Mesir untuk memilih kerajaan demokratik, bukannya sebarang regim yang masih berada di dalam genggaman ketenteraan.

Menurut mereka lagi, pengumuman tentera Mesir juga tidak membantu kuasa parlimen Mesir untuk melakar deraf perlembagaan baru bagi negara tersebut, yang akhirnya merampas kuasa serta hak yang termaktub dalam mana-mana negara demokrasi.

“Sehubungan dengan itu juga, KEADILAN, PAS dan DAP meminta pihak kerajaan Malaysia, Majlis Tertinggi Ketenteraan Mesir (SCAF) dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya untuk menghormati keputusan majoriti rakyat Mesir dan tidak campur tangan demi memastikan ketenangan dan semangat demokrasi kekal bersinar di Mesir,” ujar mereka.

Harakah Daily

Tiada ulasan: