20 Jun 2012

Pilihan raya kampus pun mahu dipolitikkan

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya menyegerakan pilihan raya kampus (PRK) yang telah lama tertangguh.

“DPPM difahamkan, PRK sepatutnya diadakan pada bulan Mac lepas tetapi ditangguhkan di semua kampus sehingga September depan kerana alasan remeh yang tidak boleh diterima,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, DPPM melihat tindakan KPT dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) menangguhkan PRK merupakan suatu perjudian terhadap masa depan mahasiswa.

Beliau berkata, DPPM merasakan tempoh masa tertangguh seperti yang diumumkan oleh KPT terlalu lama bagi mahasiswa kerana ia akan menyebabkan banyak agenda yang tidak dapat diselesaikan.

Menurutnya, mahasiswa kini ketiadaan pemimpin di kampus-kampus yang akan berjuang bagi menentukan nasib mereka sendiri selama penangguhan ini.

Dalam hal ini, ujarnya DPPM kesal kerana kerajaan cuba menafikan hak mahasiswa berpersatuan dan berpolitik kampus.

“PRK adalah perlu bagi mahasiswa bagi memilih pemimpin baru yang akan berjuang bagi kepentingan mereka. Menangguhkan pilihan raya kampus bererti mematikan idealisme mahasiswa, suara mereka tersekat, kepimpinan mereka terbantut dan kematangan berfikir mereka juga akan terhalang,” katanya lagi.

Beliau berkata, ramai melihat alasan utama di sebalik penangguhan PRK adalah kerana ia berlangsung dekat dengan PRU13.

“Sebalik kesemua ini, kerajaan seperti merasa gerun jika keputusan PRK nanti tidak memihak kepada calon-calon tajaan mereka dan menjadi sebab pula suatu kebangkitan rakyat menyokong Pakatan Rakyat.

“Jika ini benar berlaku, kerajaan seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga merasa gerun terhadap mahasiswa di kampus-kampus sedangkan hakikatnya, PRK berlangsung setiap tahun di kampus dan setiap tahun juga mahasiswa menerima kepimpinan mereka,” katanya lagi.

Menurut Riduan lagi, menjadi kebiasaan mahasiswa memilih pemimpin baru setiap tahun yang akan menyokong mana-mana parti politik mengikut kehendak mereka.

Tegasnya, DPPM yakin rakyat tidak pernah bermasalah jika mahasiswa memilih pemimpin mereka sendiri dan menyokong mana-mana parti politik.

Tambahnya, DPPM menegaskan mahasiswa mempunyai nilai tersendiri yang membantu membangunkan ummah.

Selain itu, kata beliau mereka juga adalah pemimpin masa depan negara, menyekat hak mereka memilih kepimpinan yang akan bersuara bagi pihak mereka merupakan suatu tindakan yang tidak wajar.

“KPT dan kerajaan akan dilihat lemah kerana cuba campur tangan dalam politik mahasiswa sedangkan banyak agenda pembangunan negara lebih besar untuk diperjuangkan,” ujarnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: