20 Jun 2012

Tuduh seleweng: KGT kaji tindakan perundangan

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Anak syarikat kerajaan Kelantan, Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT) sedang mengkaji tindakan perundangan terhadap pihak yang membuat laporan fitnah kononnya wujud salah laku pengurusan kewangan membabitkan seorang pegawai kanan syarikat itu.

(Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menunjukkan laporan fitnah terhadap KGT sebelum ini)

Dalam satu kenyataan penafian hari ini Pengurus Besar KTG Mahadi Mokhtar berkata, sepanjang pengetahuan pihaknya, tidak ada laporan polis pernah dibuat ke atas mana-mana pegawai syarikat itu, khususnya KGT sendiri sebagai sebuah syarikat.

"Bilangan pegawai KGT juga adalah kecil.

"Sukacita jika nama pegawai berkenaan disebut, supaya KGT tidak secara liar dikaitkan dengan gambaran yang salah," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia semalam kononnya KGT terlibat dengan skandal penyelewengan membabitkan pegawai kanan syarikat itu.

Mengulas lanjut Mahadi berkata KGT juga tidak pernah melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti lain selain menempa, mengedar dan menjual koin-koin dinar dan dirham Kerajaan Negeri Kelantan.

"Saya berharap pihak-pihak berkenaan lebih teliti dan professional dalam laporan dan kenyataan mereka serta tidak sewenang-wenangnya merosakkan nama baik KGT.

"Kami sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi melindungi integriti dan reputasi KGT terhadap dakwaan-dakwaan yang tidak benar," tegasnya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa semalam turut mencabar pihak yang membuat tuduhan mendedahkan nama pegawai yang didakwa terlibat dalam skandal berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tuduhan terbaru itu merupakan agenda politik kotor pihak tertentu.

Dalam pada itu Husam berkata beliau sedia disiasat pihak polis berhubung dakwaan itu bagi membersihkan namanya dan syarikat terbabit.

Harakah Daily

Tiada ulasan: