28 Jun 2012

ISA: KDN bertanggun​gjawab tahanan mogok lapar

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini terus mendesak Menteri Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tidak akan mengambil tindakan ke atas sembilan tahanan yang melakukan mogok lapar di Kem Kamunting (Kemta).

Peguam Latheefa Koya berkata, Menteri Dalam Negeri mesti memberi jaminan bahawa pihak keluarga, peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta.

"GMI menuntut pendirian Menteri Dalam Negeri mengenai mogok lapar yang sedang berlaku di Kamunting.

"Apakah menteri akan memberi jaminan bahawa tahanan yang mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan seperti yang dikenakan ke atas dua tahanan," kata beliau sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Kira-kira 30 terdiri daripada keluarga tahanan, aktivis GMI termasuk peguam dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkumpul di pintu masuk Parlimen dengan kain rentang dan poster menuntut tahanan dibebaskan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh sekretariat GMI, Syukri Razab dan bapa Fadzullah, Abdul Razak Mohd kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Tian Chua (PKR-Batu).

Menurut maklumat yang diterima, dua tahanan yang memulakan mogok lapar iaitu Fadzullah Razak dan Razali Kassan diasingkan daripada tahanan lain dan dikenakan kurungan sendiri.

Hari ini merupakan hari ke lapan mogok lapar yang bermula Khamis lalu.

GMI berpendirian menyokong mogok lapar tersebut dan mahu Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ke atas tahanan.

Sehubungan itu, GMI akan mengadakan candle light virgil pada Sabtu ini jam lapan malam di pintu utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan protes bersama keluarga tahanan di hadapan pintu utama Kemta pada keesokan harinya jam 10 pagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: