28 Jun 2012

32 hari tidur di khemah, bimbang dihempap batu

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

CAMERON HIGHLANDS: Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah di kawasan Green Cow di sini diancam tanah runtuh ekoran sikap pemaju mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa, syarikat pemaju LTT Development Sdn Bhd dan Ng Yeet Ng giat menjalankan kerja-kerja meratakan tanah bukit untuk projek pembangunan di kawasan itu sehingga terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk di bawah cerun.

Kini seramai 38 penghuni di kediaman-kediaman itu diancam bahaya bukan sahaja tanah runtuh, malah beresiko dihempap batu-batu besar berdiameter lebih 5 meter.

(Gambar: Batu besar yang menggelongsor ke bawah cerun hampir-hampir menghempap kediaman penduduk)

Menurut salah seorang penduduk S.Marapan, beliau kini terpaksa meninggalkan rumah yang didiami lebih 40 tahun itu dan membina khemah di atas bukit tersebut sejak 25 Mei lalu kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

"Hari ini sudah masuk 32 hari kami tidur di khemah ini. Sehingga kini tiada pihak yang peduli nasib kami," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Selain ancaman tanah runtuh, penduduk juga mendakwa kerja-kerja meratakan tanah itu menyebabkan air lumpur mengalir turun ke kediaman mereka sehingga menyebabkan banjir lumpur.

Menurut Marapan lagi, pelbagai pihak telah dimaklumkan berhubung permasalahan mereka itu.

Ianya termasuk mengadakan perbincangan dengan jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Alam Sekitar.

Namun sehingga kini katanya tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah itu.

Seorang surirumah, Vennetta mendakwa sejak kerja-kerja meratakan tanah itu dilakukan, beliau sering tidak dapat tidur malam kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada keluarganya.

"Bila hujan sahaja, saya mula bimbang takut berlaku tanah runtuh.

"Sejak beberapa bulan ini saya susah nak tidur, risau keselamatan kami," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Ekoran tidak mendapat perhatian pihak berkuasa, penduduk kini bertindak menghalang jentolak syarikat pemaju dari meratakan tanah di kawasan cerun berhampiran kediaman mereka.

Bagaimanapun difahamkan mereka berdepan ancaman samseng upahan pemaju yang mengganggu dan mengugut mereka.

Menurut mereka lagi, sehingga kini sudah lebih 10 laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan diambil.

Malah hasil tindakan menghalang pemaju melakukan kerja-kerja meratakan tanah itu, tiga dari mereka didakwa di Mahkahmah Majistret Cameron Highlands.

Keluhan dan kebimbangan mereka selama ini diperjuangkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berusaha menyelesaikan masalah meraka.

Semalam, Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat turut dibawa melawat ke tapak perkhemahan mereka bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi mereka.

Rombongan diketuai Pengerusi Lajnah Zulkefly Mohamad Omar, ahli jawatankuasa yang lain, Setiausaha PSM S. Arutchelvan serta wakil PKR dan DAP Cameron.

Wakil PSM Cameron, Suresh Kumar berkata, penduduk kini bertekad tidak akan berganjak dari tapak perkhemahan selagi tiada sebarang jaminan keselamatan dari pihak pemaju dan kerajaan negeri.

"Selagi tiada sebarang jaminan dari pemaju, kita akan terus berada di sini dan menghalang jentolak dari melakukan kerja-kerja meratakan tanah ini," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: