28 Jun 2012

Remaja didakwa bunuh pekerja kilang

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

TUMPAT - Seorang remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini kerana tuduhan membunuh seorang pekerja kilang, Mohd Al-Serendi Mat Rahim, 11 Jun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulfika Mohd Zaki, 19, dari Kampung Laut 1, di sini, menghadapi dakwaan tersebut sehingga menyebabkan kematian Mohd Al-Serendi , 26, pada 11 Jun lalu antara jam 9.30 malam hingga 9.45 malam di Simpang Empat, Kampung Laut 1, Palekbang, di sini.

Mohamad Zulfika kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Salam Yusof.

Tertuduh dilihat mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes tersebut di mahkamah yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Sinar Harian 13 Jun lalu melaporkan seorang pekerja kilang maut ditikam dengan senjata tajam dipercayai sebilah keris ketika cuba menyelesaikan kes pergaduhan melibatkan saudaranya di Kampung Laut.

Mangsa, Mohd Al - Serenadi ditikam oleh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akibat cuba masuk campur menyelesaikan kes saudaranya ditampar berkaitan kejadian menunggang motosikal laju.

Mangsa yang berasal dari Kampung Berlian, di sini, mengalami kecederaan parah di dada kanan akibat terkena tikaman itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat.

Bagaimana pun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital terbabit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: