28 Jun 2012

Nyatakan kerugian sebenar peniaga semasa Bersih 3.0

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan jumlah kerugian sebenar oleh peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur di hari perhimpunan Bersih pada 28 April 2012.

Di samping itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut meminta menteri berkenaan menyatakan satu persatu nama dan alamat lengkap premis-premis perniagaan serta jenis perniagaan yang diusaha yang mengalami kerugian pada hari tersebut.

Beliau mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berikut ialah pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan adakah pihak Kementerian mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan negara-negara serantau berhubung pembangunan belia, khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan kejayaan yang dicapai sehingga kini oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bagi membantu Kementerian mencapai tahap teknologi tinggi menggunakan kepakaran tempatan.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan berapakah kos tambahan pembinaan Hospital Shah Alam berbanding kos asal dan apakah tempoh tambahan untuk pembinaannya berbanding tempoh kontrak asal.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah peranan LKIM di dalam menstabilkan harga ikan di dalam negara dan berapa jumlah ikan yang diimport dari negara luar serta namakan negara pengeksport tersebut.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan langkah Kerajaan bagi memastikan harga ikan yang sampai kepada pembeli adalah murah dan apakah tindakan Kerajaan untuk memperbaiki National Fishermen’s Association of Malaysia (NEKMAT) yang dilihat tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan apakah perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua, dan apakah tindakan Kerajaan terhadap kontraktor-kontraktor yang gagal menyiapkan pakej masing-masing sehingga penyiapan projek tersebut tertunda.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan kos perbelanjaan PDRM untuk berhadapan dengan himpunan Bersih 3.0.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah kehilangan pendapatan kepada FELDA selepas 360,000 hektar tanah ladang milik FELDA dipajakkan kepada FGVH. Apakah strategi FELDA untuk meningkatkan pendapatan dan menggantikan hasil keuntungan yang hilang akibat daripada pemajakan tanah milik FELDA kepada FGVH.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah Kerajaan telah membuat taklimat undang-undang berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2011 kepada seluruh anggota PDRM memandangkan ianya baru diwarta untuk dikuatkuasakan pada 23 April 2012. Jika ada taklimat undang-undang itu dibuat, boleh nyatakan berapa kali taklimat itu dibuat, berapakah jumlah peserta taklimat dan siapakah yang memberikan taklimat itu kepada anggota PDRM.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan berapa peratuskah pelajar di Sekolah Menengah yang masih belum boleh membaca dan apakah usaha yang telah diambil bagi mengatasinya.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan jumlah kerugian sebenar oleh peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur di hari perhimpunan BERSIH pada 28 April 2012 dan nyatakan satu persatu nama dan alamat lengkap premis-premis perniagaan serta jenis perniagaan yang diusaha yang mengalami kerugian pada hari tersebut.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan bilangan guru sekolah menengah dan rendah seluruh Padang Terap serta bilangan kekosongan mengikut opsyen.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah benar Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini, jika benar minta Menteri berkenaan mengemukakan perinciannya.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGUNAAN menyatakan apakah Kementerian bercadang menghapuskan semua sistem monopoli dalam negara.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan keperluan imunisasi yang patut diberi kepada kanak-kanak mengikut peringkat umur dalam usaha membantu mengatasi serangan penyakit baru yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Harakah Daily

Tiada ulasan: