28 Jun 2012

Pelukis trauma disamun

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang pelukis terpaksa mengalami detik mencemaskan apabila galeri lukisannya di Lorong Love disamun seorang lelaki bertopeng, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Lim Dang Chii, 31, dikatakan berseorangan di dalam galerinya sebelum seorang lelaki menyelinap masuk dan bertindak mencederakannya.

Difahamkan, penjenayah terbabit turut mengelar leher mangsa menggunakan pisau dan menghentak kepala mangsa beberapa kali ke lantai.

Menurut sumber, mangsa diikat dan dikurung di dalam bilik air galeri berkenaan.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher, selain terpaksa menanggung kerugian apabila beberapa barangan termasuk wang tunai dilarikan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, suspek berjaya melarikan wang tunai milik mangsa bernilai RM300, satu telefon bimbit dan satu komputer tablet.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya melepaskan diri dari kurungan dan terus mendapatkan bantuan orang ramai sebelum melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.

Kong Meng berkata, mangsa yang mengalami kecederaan teruk dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, Kong Meng berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.

Sinar Harian

Tiada ulasan: