28 Jun 2012

Pekerja mengamuk, majikan putus tangan

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH - Angkara pergaduhan, seorang pemilik restoran terpaksa menanggung azab apabila putus tangan kiri akibat ditetak dengan parang oleh pekerjanya yang tiba-tiba mengamuk dalam satu perselisihan faham di sebuah restoran di Taman Sentosa, Ayer Tawar, Manjung, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu mengakibatkan mangsa, berusia 40- an dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki helikopter angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menyambung semula tangannya itu, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, mangsa dikatakan bertengkar mulut dengan suspek yang berusia 39 tahun sebelum suspek mencapai parang dan menetak mangsa.

“Mangsa difahamkan gagal mengelak sebelum tangan kirinya ditetak hingga putus.

"Malah serangan suspek itu menyebabkan tulang tangan mangsa patah, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian segera menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata. anggota polis bertindak pantas menahan suspek warga tempatan itu serta merampas sebilah parang yang digunakan untuk menyerang mangsa.

Katanya, mangsa yang diberikan rawatan kecemasan oleh doktor bagaimanapun dinasihatkan supaya segera dihantar ke HKL bagi membolehkan pembedahan menyambung tangannya dilakukan.

“Pihak TLDM yang dimaklumkan berhubung kejadian itu kemudian bertindak membuat penerbangan ihsan untuk membantu mangsa kira-kira jam 2 petang,” katanya.

Polis kini menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang boleh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: