28 Jun 2012

Belukar jadi ‘port’ penagih

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA NERANG - Tidak serik! Walaupun sudah dua kali diserbu, kawasan terbiar di Kampung Padang Chenderai, Batu 14, masih tetap menjadi lokasi pilihan sekumpulan penagih dari kawasan berhampiran.

Mungkin kerana lokasinya yang agak tersorok iaitu di atas tanah yang dipenuhi semak samun, menyebabkan kegiatan kumpulan itu sukar dilihat walaupun jaraknya hanya kira-kira 300 meter dari laluan utama Pokok Sena-Kuala Nerang.

Hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan sejak tiga hari lalu, empat anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap bersama tujuh petugas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap, mengadakan Ops Bersepadu di kawasan berkenaan semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan bermula jam 1 petang dan berakhir kira-kira jam 5 petang itu, seramai 22 penagih yang sedang melepaskan gian, tergamam dan bertempiaran lari bagi mengelakkan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.

Sinar Harian difahamkan, ada antara penagih itu cuba melawan dan menyerang pihak berkuasa menggunakan senjata tajam dan kayu, namun berjaya dipatahkan.

Beberapa penagih termasuk dua lelaki dipercayai pengedar secara kecil-kecilan, berjaya meloloskan diri dan lari ke dalam kawasan semak, namun kenderaan masing-masing ditinggalkan di lokasi.

Gelagat penagih ini agak mencuit hati kerana kebanyakan yang berkunjung ke kawasan belukar itu semalam, sempat singgah dan membeli barang keperluan dapur seperti sayur-sayuran, ikan dan juga lampin pakai buang untuk anak mereka di pekan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, 22 penagih yang ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun dan merupakan penduduk dari kawasan Felda Bukit Tembaga dan Pokok Sena.

“Kita turut merampas pelbagai jenis alat yang digunakan penagih, dadah jenis heroin, senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk mempertahankan diri jika ‘port’ mereka diserbu pihak berkuasa, 17 motosikal pelbagai jenis serta sebuah kereta Proton Iswara berwarna merah.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan suspek bekerja sebagai buruh dan penoreh getah. Mereka dibawa ke IPD Padang Terap untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 (Pindaan 1998),” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kawasan setempat yang enggan dikenali, berkata, lokasi berkenaan sudah lama menjadi tumpuan penagih, khususnya sekitar jam 11 pagi sehingga jam 4 petang.

“Mereka yang memasuki lorong berkenaan terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada juga yang sudah tua, namun masih tidak serik menagih dadah.

“Sebelum ini, ada satu lagi kawasan semak berhampiran yang jadi tumpuan mereka, namun selepas beberapa kali diserbu, mereka bertukar ke ‘port’ baru ini pula,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: