28 Jun 2012

Nampak kepala rakan terkulai

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang pemandu treler tidak menyangka mangsa yang cuba diselamatkan akibat terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 221.6 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, awal pagi semalam, adalah rakannya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, Hairudin Jaafar, 35, yang ketika itu sedang memandu treler muatan kereta di lebuh raya terserempak dengan kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan sama di hadapannya.

“Saya lihat kenderaan sudah berderet terkandas. Sampai di tempat kemalangan, saya turun dari treler untuk meninjau keadaan mangsa yang ketika itu saya tidak sangka seteruk ini," katanya.

Menurutnya, dia kemudian cuba memanjat ke arah treler yang terbabit kemalangan itu menerusi besi-besi yang sudah remuk.

"Masa itu, saya lihat mangsa masih lagi hidup namun dalam keadaan nazak sambil mengerang menahan kesakitan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Hairudin berkata, dalam keadaan gelap dia melihat kepala mangsa sudah terkulai dan bertakup pada papan pemuka kenderaan.

"Manakala, kakinya sudah tersepit. Saya tak mampu buat apa-apa hanya menunggu bomba tiba mengeluarkan mangsa," katanya.

Hairudin berkata, dia kemudian terkejut apabila mendapati mangsa adalah rakannya sedangkan semasa membantu menyelamat, dia langsung tidak sedar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Saad Ramli, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai perjalanan dari Perak menuju ke Johor Bahru untuk menghantar muatan enam buah kereta, merempuh belakang sebuah treler lain mengakibatkan mangsa tersepit.

Difahamkan, mangsa bertolak dari Grik menuju ke stor tempat kerjanya di Bukit Beruntung, Rawang, sebelum memulakan perjalanan ke Johor Bahru kira-kira 1.30 pagi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Yusof Hussin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan selepas lebih sejam tersepit.

“Tiga jentera membabitkan 16 anggota dari Balai Bomba Alor Gajah dan Rembau bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: