28 Jun 2012

Lemas ketika menjaring ikan

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Kehilangan seorang lelaki ketika sedang menjaring ikan di lubok sungai di Kampung Sungai Petai, Rembia, di sini terjawab selepas mayatnya ditemui terapung berhampiran tempatnya menjaring di sungai berkenaan, malam kelmarin.

Operasi mengesan mangsa dilakukan sepasukan anggota penye- lamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) sambil dipantau anggota polis
bermula kira-kira 3.30 petang sebelum menemui mangsa kira-kira 8.15 malam.

Keluar rumah jam 7 pagi

Kehilangan mangsa, K Mogan, 33, disedari salah seorang ahli keluarganya, R Bhuavanie, 36, yang tinggal serumah dengan mangsa kira-kira 2 petang selepas mendapati mangsa masih belum pulang dari menjaring ikan.

Menurutnya, pada pagi kejadian, mangsa keluar dari rumah kira-kira 7 pagi.

"Saya kemudiannya keluar membawa ayah ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan hanya pulang ke rumah kira-kira 2 petang.

"Kebiasaannya mangsa akan pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari sebelum keluar semula membuat kerja lain," katanya.

Sanggup berjalan 3 kilometer

Bhuavanie berkata, anaknya, R H amanathan, 16, memberitahu mangsa masih belum pulang dari pagi menyebabkannya berasa tak sedap hati dan memaklumkan kepada adik ipar untuk mencari mangsa.

"Sehari sebelum kejadian mangsa ada memaklumkan kepada kami yang dia hendak ke sungai untuk menjaring ikan dan sanggup berjalan kaki melalui ladang sawit sejauh kira-kira tiga kilometer," katanya.

Katanya, dia bersama adik iparnya bergegas ke sungai dan mendapati baju yang dipakai mangsa berada di tebing berdekatan bersama selipar serta dompet berisi MyKad dan wang tunai RM15.

“Sebaik terpandangkan baju mangsa terdampar atas tebing, hati saya kuat merasakan ada sesuatu menimpanya malah jaring yang digunakan mangsa untuk menjaring ikan juga ditemui berhampiran tebing sungai berkenaan.

“Selepas melihat sekeliling saya teringat saya pernah menjadi mangsa sengatan sarang tebuan tualang di batang pokok sena tepi sungai dan ada kemungkinan mangsa diserang tebuan serta bertindak terjun ke dalam sungai,” katanya.

"Saya terkilan dengan pemergian mangsa yang tidak diduga kerana mangsa banyak membantu kami sekeluarga mendapatkan sumber pendapatan setiap hari," katanya.

12 anggota JPAM dikerah

Pegawai Muda Pertahanan Awam Alor G ajah, Zainal Awing berkata, bertindak selepas menerima maklumat orang awam, sepasukan 12 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikerah ke lokasi kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas kerana keadaan air deras serta berpusar sebelum operasi dihentikan kira-kira jam 6.30 petang.

“Bagaimanapun usaha mengesan mangsa diteruskan biarpun keadaan air pusar dan kedalaman sungai menyukarkan usaha menyelamat sebelum operasi dihentikan tiga jam kemudian atas arahan polis,” katanya.

Zainal berkata, mayat mangsa kemudiannya ditemui terapung tidak jauh dari tempat mangsa meninggalkan jaring dan pakaiannya di tebing sungai kira-kira jam 8.15 malam oleh penduduk kampung berkenaan.

Mayat ditemui berhampiran tempat menjaring

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor G ajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran tempat mangsa menjaring dari tebing sungai oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 8.15 malam.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk menjalani bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Turut sama berada di lokasi kejadian semasa operasi mengesan dilakukan, T imbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid dan Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam, Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani.

Sinar Harian

Tiada ulasan: