05 Julai 2012

Pemandu bas ekspres maut, 11 penumpang cedera

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang pemandu bas terbunuh manakala kesemua 11 penumpang bas itu cedera apabila kenderaan mereka naiki itu terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di Km303.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kampar awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang terbunuh ialah Azizan Hamid, 51, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Azizan yang mengalami cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata, kedua-dua pemandu lori itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 2.45 pagi, ketika bas Seri Maju itu yang membawa 11 penumpang sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur apabila ia merempuh belakang sebuah lori yang tiba-tiba berhenti di lorong kecemasan.

Pada masa yang sama, bas tersebut dirempuh pula dari belakang oleh sebuah lori yang mengekorinya.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam bas. - Bernama

Sinar Harian

1 ulasan:

Annie berkata...

banyak betul kemalang sekarang ni