05 Julai 2012

Seorang lelaki ambil jalan mudah curi getah sekerap penduduk

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Akibat terdesak seorang lelaki mengambil jalan mudah dengan mencuri getah sekerap yang ditoreh penduduk sekitar Gual Mesa, di sini petang kelmarin.

Seorang lelaki mendakwa dia mencuri getah sekerap penduduk, kerana terdesak untuk membeli dadah yang kerap diambilnya sejak tiga tahun lalu.

Suspek yang hanya mahu dikenali Fendi berkata, dia terpaksa berbuat demikian berikutan perlu mengambil bahan itu pada setiap masa kerana sudah ketagih.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia sembilan tahun dan dua bulan berkata, terlalu sukar untuk dia berubah . Ketika ditanya wartawan tentang nasib anak-anak dan isterinya setelah dia terlibat dengan dadah, elaki ini memaklumkan kesiankan mereka tetapi tidak mampu berbuat apa -apa kerana dadah membuatkan dia kerap mencuri.


Jual getah di Lemal

FENDI berkata, dia baru ke kampung sekitar Gual Mesa untuk mencuri dan menafikan sudah terlalu lama melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab di sekitar Gual Mesa, seperti didakwa penduduk .

Menurutnya, dia menggunakan motosikal berpendaftaran negara jiran kepunyaan adiknya dan menjual getah yang dicuri di Lemal.

“Saya terpaksa mencuri, untuk membeli dadah dan baru sahaja ke sini,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, suspek yang mendakwa berasal dari Tendong, Pasir Mas ini teruk dibelasah penduduk kampung setelah dipercayai mencuri getah di kebun beberapa penduduk sekitar Gual Mesa, sejak beberapa hari lalu.

Penduduk berbuat demikian kerana terlalu marah memandangkan ada dalam kalangan mereka langsung tidak dapat menikmati hasil penat lelah mereka bekerja selama seminggu kerana dicuri.


Suspek dikejar penduduk

SEORANG penduduk berusia 45 tahun dan enggan dikenali berkata, suspek itu dikejar penduduk kampung dengan motosikal dan kereta sejauh kira-kira 5 kilometer, setelah melihatnya keluar dari Simpang Tasek Bakong dan turut menemui getah dicuri bersamanya.

Menurutnya, kes kecurian berleluasa di kampung berkenaan sejak tiga minggu lalu menyebabkan penduduk hilang sabar lalu memukul suspek.

“Sejak akhir-akhir ini penduduk kampung benar-benar kecewa, getah dari kebun masing-masing kerap dicuri sehingga menyebabkan mereka berpenat lelah sahaja sedangkan hasilnya dinikmati orang lain.

“Ada yang bernasib baik cuma dicuri sedikit sahaja, sementara ada yang langsung tidak dapat menikmati hasil torehan selama seminggu,” katanya.


Harap kejadian itu dijadikan pengajaran

PENGHULU Mukim Gual Mesa,Wan Mohd Zain Wan Jaafar berkata, dia berharap penangkapan pencuri getah di kelmarin, diharapkan akan menjadi pengajaran kepada pencuri yang masih aktif di sekitar kawasan ini.

Menurutnya, hampir setiap hari dia menerima aduan daripada penduduk tentang kehilangan getah di kebun masing-masing. “Saya berharap pencuri tidak berani lagi ke sini setelah salah seorang daripadanya ditangkap,” katanya.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Sinar Harian difahamkan, pada petang sama, dua lelaki turut ditahan sekitar Rantau Panjang kerana kes sama.

Wartawan cuba menghubungi Ketua Polis Daerah untuk mendapatkan pengesahan lanjut tetapi gagal

Sinar Harian

Tiada ulasan: