05 Julai 2012

Kenderaan sukar keluar masuk

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

JENGKA - Peniaga di Arked Mara, terutama pemilik kedai yang berada di bahagian belakang merungut apabila laluan untuk kenderaan keluar masuk ke kawasan itu tidak sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Arked Mara, Zakaria Ahmad berkata, jalan di hadapan kedainya tidak mempunyai laluan masuk dan keadaan itu menyukarkan pelanggan.

Menurutnya, pelanggan terpaksa masuk melalui lorong yang jauh memandangkan laluan berdekatan adalah jalan sehala.

"Keadaan jalan pula sempit. Pelanggan sukar nak keluarkan kenderaan mereka. "Pernah berlaku di hadapan mata saya hampir berlaku kemalangan kerana seorang pelanggan cuba mengundurkan keretanya, tetapi tidak perasan ada orang berada di belakang,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, aduan sudah dibuat sejak 30 Mac tahun lalu kepada pihak atasan, namun tiada sebarang maklum balas. “Sudah banyak kali saya menanyakan dan membuat aduan, tetapi pelbagai alasan diberikan termasuk hendak membincangkan masalah tersebut dalam mesyuarat mereka, selain dikatakan tiada bajet.

“Pihak terbabit juga pernah datang meninjau keadaan di sini, tetapi mereka salahkan pula kontraktor yang membina arked ini kerana memasang batu hiasan di satu ruang yang dikatakan boleh dijadikan lorong keluar atau masuk,” katanya.

Menurutnya, ramai pelanggan merungut kerana sukar masuk dan meletakkan kenderaan mereka kerana jalan sempit.

Justeru dia memohon supaya pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya mengatasi masalah itu bagi memudahkan peniaga dan orang ramai.

Sinar Harian

Tiada ulasan: