05 Julai 2012

Helah wanita cantik gagal

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Dengan menggunakan wajah cantik dan berbudi bahasa, seorang wanita berusia lewat 20-an berpakat bersama pasangannya dan dipercayai menjalankan kegiatan menipu wang mangsanya dengan cara pukau.

Pengalaman itu dialami seorang bekas guru agama, Mohd Ali Siman, 62, yang didatangi seorang wanita mempunyai loghat dari negara jiran pada Jumaat lalu, ketika dia hendak menunaikan cek di sebuah bank di bandar ini.

Katanya, ketika dia keluar dari kereta dan hendak mengeluarkan cek dari poket bajunya, dia ditegur seorang wanita yang meminta pertolongan.

“Wanita itu cukup bersopan dan cantik. Dia memberitahu memenangi loteri dengan jumlah agak banyak, namun transaksi terbabit tidak boleh dilakukan kerana bukan warganegara dan memerlukan seorang penjamin warganegara Malaysia.

“Wanita terbabit juga memberitahu dia memerlukan wang sejumlah RM20,000 sebagai urusan untuk mengeluarkan wang yang dimenanginya,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun begitu katanya, dia berasa berbelah bahagi untuk membantu wanita itu kerana melibatkan perjudian dan wang haram, namun kata-kata untuk menolaknya seolah-olah sukar untuk diluahkan.

Mohd Ali berkata, ketika asyik mendengar penjelasan daripada wanita itu, tiba-tiba seorang lelaki datang menyapa mereka berdua dan bertanyakan mengenai perbincangan berkenaan, seterusnya wanita itu terus bercerita masalah dihadapinya.

“Setelah mendengarnya, lelaki itu mempelawa kami masuk ke keretanya. Saya mula berasa pelik kerana kereta lelaki itu diletakkan seolah-olah bersedia untuk membawa kami.

“Saya, tanpa berkata apa-apa terus mengikut wanita dan lelaki itu. Ketika dalam kereta, saya ditunjukkan tiket loteri dan juga sehelai keratan akhbar tempatan yang menunjukkan nombor sama dimenangi wanita tersebut.

“Saya bertambah pelik apabila disoal oleh kedua-duanya mengenai jumlah wang yang saya miliki di bank. Saya termangu seketika, kemudiannya berdoa agar saya diselamatkan daripada apa juga cubaan penipuan ketika itu," katanya.

Sejurus itu, dia mampu bersuara dan menyatakan kesemua akaunnya tidak mempunyai kemudahan mesin pengeluaran automatik (ATM) dan pengeluaran hanya boleh melalui buku bank yang ditinggalkan di rumah.

Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan, wanita dan lelaki berkenaan mengajaknya untuk mengambil buku akaunnya di rumah, setelah berpusing-pusing di bandar ini beberapa kali.

“Sekali lagi saya cuba memberi helah dengan memberitahu kupon meletak kenderaan saya hampir habis tempoh dan mahu menggantikannya dengan yang baru.

Kemudiannya, saya terus dibawa ke kereta saya.

“Setelah turun, saya masuk ke kereta saya dan perhatikan kereta mereka terus meluru meninggalkan saya. Saya bersyukur kerana terselamat daripada ditipu mereka.

“Setelah difikirkan balik, saya menurut sahaja kehendak mereka seperti dipukau, namun mungkin ALLAH mahu selamatkan saya daripada penipuan ini, usaha mereka tidak berjaya,” katanya

Katanya, setelah bercerita dengan beberapa kenalan rapat, ada yang bertanya kepadanya tentang ilmu yang digunakan sehingga mampu melepaskan diri dari kejadian berkenaan.

“Saya menyatakan supaya sentiasa ingatkan ALLAH, sentiasa berada dalam keadaan berwuduk dan mengaji al- Quran setiap hari.

“Apabila kita sentiasa ingatkan ALLAH, maka ALLAH akan sentiasa ingat kita dan membantu kita apabila kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya masih belum menerima laporan berkaitan kes pukau.

“Jika orang awam menjadi mangsa pukau ini, mereka perlu membuat laporan polis dengan segera supaya tindakan susulan untuk mengenal suspek dapat dilakukan oleh pihak polis.

“Kami nasihat orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jika ditipu atau dipukau, mereka perlu mengambil nombor pendaftaran kenderaan suspek, kenal pasti bahasa digunakan, jumlah suspek, wajah dan juga pakaian yang mereka pakai,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: