05 Julai 2012

Perompak jadikan rumah dalam proses ubah suai sasaran

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Pemilik sebuah rumah dalam proses ubah suai menjadi mangsa samun empat perompak bertopeng dalam satu kejadian rompakan di IM 13/13, Astana Golf, Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun diacukan pisau oleh perompak dipercayai warga asing sebelum diikat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM6,000 selepas empat telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sebentuk cincin dilarikan penjenayah.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang tidur di dalam biliknya sebelum dikejutkan dengan kehadiran perompak terbabit.

“Selepas mengikat mangsa, suspek bertindak menggeledah rumah dan melarikan barang an yang dilaporkan hilang itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya, penjenayah meoloskan diri masuk melalui pintu belakang dan keluar menggunakan laluan sama.

“Berdasarkan keterangan mangsa, penjenayah melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan bagaimana pun tidak dapat dipastikan jenisnya.

“Mangsa berjaya melepaskan diri daripada ikatan hasil bantuan jiran yang datang selepas menyedari kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Agency

Tiada ulasan: