05 Julai 2012

Sukma: Selangor langkah kanan

15 Syaaban 1433H. [MOD] -

SERI sudah memadai buat Selangor pada aksi terakhir kumpulan B menentang Perak Ahad ini untuk menempah slot ke suku akhir acara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma), Pahang.

Jurulatihnya Mohd Rosedy Mohd Nadzir bagaimanapun enggan pemain mengambil mudah pertemuan menentang Perak meskipun sebelah kaki berada selangkah ke hadapan. “Kita tidak menaruh harapan tinggi tahun ini walaupun turun selaku finalis Sukma 2008. Kita mahu fokus setiap perlawanan dan sekiranya berjalan lancar, gelaran juara kumpulan mampu diraih,” katanya kepada Sinar Harian, selepas perlawanan semalam.

Semalam, Selangor bermula garang apabila membelasah Johor 4-1 pada aksi pembukaan, hasil jaringan hatrik penyerang Nurshamil Abd Ghani dan Alyy Imran Samarkhan Ismail. Manakala gol tunggal Johor dijaringkan Shafiq Shaharudin. Selangor yang bermula perlahan seawal minit pertama seolah-olah hilang punca sebelum penyerang sensasi Nurshamil yang juga penyerang Piala Presiden PKNS menyentak gawang lawan awal minit ke-39.

“Pemain seakan hilang keyakinan, teragak-agak dan dengan bola lebih tertumpu di bahagian tengah dan mungkin ia berpunca daripada kelewatan permainan yang ditunda sehingga 45 minit.

“Bagaimanapun mereka kembali menemui rentak dan menambah tiga lagi jaringan termasuk sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Nurshamil sebelum wisel penamat,” katanya yang tidak berpuas hati dengan keseluruhan prestasi pemainnya.

Bersandarkan kepada dua penyerang berpengalaman Nurshamil dan penyerang pasukan Piala Presiden Selangor, Muhammad Nazrul Kamaruzaman, Rosedy mahu pemain memanfaatkan tempoh masa yang ada untuk perbaiki kelemahan dan tingkatkan momentum menjelang pertemuan menentang Perak, tiga hari lagi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: