28 September 2012

Jurulatih PLKN tuntut janji

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Roslan
Roslan menunjukkan senarai 185 jurulatih yang layak menerima skim gaji berdasarkan gaji akhir sebelum bersara.
 Roslan
 
Roslan menunjukkan surat yang dikeluarkan oleh SPA kepada JLKN bertarikh 13 Mei 2011.
 
IPOH – Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menuntut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi penjelasan berhubung penetapan gaji permulaan bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pembantu kesatria S17 yang hingga kini didakwa masih belum selesai.

Seorang jurulatih yang mahu dikenali sebagai Roslan Darus berkata, SPA seharusnya memberikan maklum balas dan mengikut Perkara 46 Penetapan Gaji Pesara dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 2/2008 yang dikeluarkan sendiri oleh SPA.

Beliau kecewa kerana sehingga kini SPA dikatakan tidak mengikut pekeliling yang dikeluarkan itu dan menafikan hak jurulatih PLKN.

“Pekeliling itu secara jelas menunjukkan setiap pesara tentera yang menjadi jurulatih PLKN layak menerima gaji terakhir semasa perkhidmatan namun mengapa SPA sehingga ke hari ini tidak menempatkan kami kumpulan jurulatih kedua ini dalam skim itu.

“Surat bertarikh 13 Mei 2011 yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sebelum ini menyatakan seramai 185 jurulatih pesara ATM diluluskan untuk menerima skim gaji terakhir semasa perkhidmatan sedangkan kami juga termasuk dalam skim itu namun hingga kini tidak kesampaian,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Roslan mendakwa sudah menulis surat kepada JLKN dan SPA bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu sehingga kini SPA masih berdiam diri.

“Kami semua sudah panjat pejabat SPA dan JLKN sendiri sudah menghantar dokumen yang diperlukan tetapi hampa. Terbaru kami ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan jawapan sendiri namun gagal malah jawapan yang diberikan seolah-olah mempersoalkan kami tidak layak untuk skim berkenaan.

“Selepas gagal di SPA, kami ke JLKN untuk mendapatkan kepastian mengapa jurulatih kumpulan kedua tidak diletakkan dalam skim itu dan JLKN menyatakan surat jawapan dari SPA tidak boleh dikeluarkan kepada jurulatih. Berkemungkinan dalam surat itu dinyatakan sebab mengapa kami tidak dimasukkan ke skim itu tapi mereka tak bagi tengok,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa hanya kumpulan pertama sahaja yang layak menerima sedangkan kumpulan lain turut menjalankan kewajipan menabur bakti melahirkan generasi yang berakhlak tinggi.

“Kami hanya menuntut apa yang dirasakan hak kami memandangkan perkara itu telah dipersetujui sendiri oleh kedua-dua pihak iaitu JLKN dan SPA sendiri tetapi persoalannya mengapa sehingga ke hari ini tertangguh.

“Kenapa sebelum ini SPA boleh meluluskan pembayaran gaji terakhir dan tunggakan kepada 185 jurulatih di seluruh kem PLKN namun permohonan kami seolah-olah ‘disekat’ oleh tangan-tangan ghaib sedangkan kami layak menerimanya,” katanya yang menggesa SPA memandang serius perkara itu

sinar harian/-

Tiada ulasan: