28 September 2012

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak
 
Yusri bersama anaknya menunjukkan keadaan jalan ke kolam ikan miliknya di Kampung Pulau, Labu.
LABU - Gara-gara jalan tidak berturap selain berlopak menyebabkan seorang penternak ikan air tawar berhadapan risiko kehilangan pelanggan.

Yusri Abdul Latif, 41, berkata, dia menjalankan kegiatan menternak ikan sejak lebih lima tahun lalu. Menurutnya, kolam ikan itu terletak di sebelah rumahnya yang sudah didiami sejak lapan tahun lalu.

"Malah sejak saya mula-mula tinggal di sini, keadaan jalan itu memang tidak pernah berturap sehingga kini. Saya sudah membuat aduan dan permohonan pada Mac 2009 kepada ketua kampung dan wakil rakyat kawasan namun jawapan yang diberi mengecewakan," katanya kepada Sinar Harian.

Yusri berkata, mereka sering memberi jawapan tiada peruntukan untuk menurap jalan.

"Saya kesal kerana beberapa penduduk lain turut menerima kemudahan turap jalan sedangkan mereka memaklumkan peruntukan tiada," katanya.

Katanya, sepanjang mengusahakan perniagaan itu, dia bukan sahaja mempunyai pelanggan dalam kalangan penduduk Kampung Pulau, tempatnya tinggal malah turut menerima kunjungan luar Negeri Sembilan termasuk dari negara jiran seperti Brunei Darussalam.

"Saya sering menerima rungutan daripada pelanggan mengatakan keadaan jalan yang lecak merosakkan kenderaan mereka.

"Bagi yang pertama kali datang ke sini pasti akan terkejut. Selain itu ada di antara mereka tidak mahu lagi datang membeli malah ada juga meminta saya menghantar ikan sendiri. Ia tidak berbaloi kerana saya terpaksa menanggung kos minyak kereta selain harga ikan yang sama," katanya.

Malah katanya, selain masalah jalan, Yusri pernah memohon untuk membina jambatan yang menghubungkan kolam ikan utama dan rumahnya.

"Saya terpaksa membina titi dari kayu pokok untuk menyeberang anak sungai bagi mengambil ikan yang dipesan pelanggan.

“Pernah tiga kali saya terjatuh ke dalam anak sungai kerana tergelincir semasa membawa ikan. Keadaan ini menyukarkan saya untuk berniaga,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai penternak, Yusri pernah mengalami kerugian RM10,000 apabila banjir besar berlaku pada 2010 yang memusnahkan ternakan ikannya seperti keli, tilapia dan baung.

“Jalan tersebut hanya sepanjang 300 meter dan kos membinanya tidak sampai RM10,000 begitu juga dengan jambatan yang kosnya tidak begitu tinggi.

“Justeru saya harap masalah ini mendapat perhatian kerana ia menjejaskan perniagaan dalam jangka masa panjang,” katanya yang tidak membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan ikan air tawar itu.

sinar harian/-

Tiada ulasan: