28 September 2012

Peniaga di tanah KTM tuntut pampasan

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sekumpulan peniaga di Simpang Renggam, Johor menuntut sejumlah pampasan seperti yang diterima penduduk di Tanah KTM, Layang-Layang, Simpang Renggam.

Tuntutan itu dibuat berikutan pembahagian pampasan atau ex-gratia yang tidak diberikan secara standard kepada penduduk dan peniaga di tanah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik dan Penyewa Kedai Tanah KTM, Layang-layang, Samin Mohamed, berkata beliau dan para peniaga telah tinggal dan berniaga di situ lebih 30 tahun.

Malah, kedai yang mereka dirikan juga menjadi tempat tinggal, yang kini pihak KTM meminta mereka keluar dri kawasan tersebut bagi tujuan pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor.

"Kami diarahkan keluar dari kedai ini sehingga 31 Mac 2012. Namun kami tidak diberi sebarang pampasan atas alasan bahawa kami adalah pekedai, bukannya pemilik rumah dan alasan itu tidak boleh dierima," kata beliau pada satu sidang media, di parlimen, hari ini.

Beliau menambah, penduduk menerima pampasan sebanyak RM8,200, di mana RM1,000 untuk wang perpindahan, RM7,200 untuk wang sewa bagi tempoh tiga tahun (RM200 sebulan).

Malah, katanya pada 1 Ogos lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah memaklumkan penduduk bahawa mereka akan mendapat bayaran ex-gratia sebanyak RM42,000.

"Persoalannya, mengapa kami yang juga tinggal di kawasan ini dinafikan hak untuk mendapat pampasan yang setimpal dengan kami?" soal beliau lagi.

Samin turut mengecam alasan pihak KTM yang mengatakan peniaga tidak layak mendapat pampasan kerana mereka sudah mendapat keuntungan dari kedai di atas tanah KTM.

Alasan tersebut, kecam beliau tidak munasabah kerana dalam perniagaan terdapat masa untung dan rugi.
"Ada masanya kami untung, dan ada masanya kami rugi. Sedangkan penduduk sentiasa untung kerana tinggal secara percuma di atas tanah KTM. Dalam hal ini, kami rugi sebanyak tiga kali - rugi dalam perniagaan, rugi tiada pampasan dan rugi tidak dapat wang perpindahan," tegas beliau.

Pada sidang media tersebut, para peniaga tersebut bertindak menyerahkan memorandum tuntutan mereka untuk dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena dan Kuala Krai, Datuk Mahfuz Omar dan Dr. Hatta Md. Ramli serta Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: