09 Mei 2013

Anwar terpaksa bonceng motosikal ke Stadium

28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KELANA JAYA: Kesesakan luar biasa menuju ke Stadium Kelana Jaya malam tadi menyebabkan Ketua Umum PKR terpaksa membonceng motosikal untuk sampai ke himpunan "Suara Rakyat Suara Keramat" di situ malam tadi.

Gambar Anwar menaiki motosikal itu sempat dirakam pengguna jalan raya yang turut tersekat dengan kesesakan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan jalan-jalan lain menuju ke stadium.

Sementara itu pengamal media kebanyakannya menganggarkan jumlah kehadiran malam tadi tidak kurang dari 120,000 orang.

Beberapa keping gambar pandangan udara menunjukkan bukan sahaja ruang dalam stadium penuh, malah bahagian luar sekeliling stadium juga padat dengan orang ramai.

Itu tidak termasuk lagi puluhan ribu yang terkandas di jalan raya yang tidak sempat sampai ke stadium akibat kesesakan.

Himpunan malam tadi adalah bagi menyatakan solidariti membantah penipuan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Yang hadir malam tadi bukan sahaja Melayu, tetapi seluruh kaum di Malaysia yang bersatu menolak penipuan pilihan raya.

Mereka berpakaian hitam sebagai tanda berkuburnya keadilan dan kebebasan dalam sistem pilihan raya kali ini.

Dengan laungan 'Ubah', 'Bersih', 'Ini Kalilah' dan 'SPR tipu', rakyat terus mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib segera meletak jawatan kerana kemenangan kerajaan BN itu dianggap tidak sah.

Selain Anwar turut hadir adalah pimpinan utama Pakatan Rakyat yang lain, termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Anwar ketika memberikan ucapan malam tadi turut menjawab soalan perkauaman yang dimainkan Umno melalui medianya Utusan Malaysia yang bertanyakan "Apa lagi Cina mahu" dalam laporannya kelmarin.

"Cina mahu apa? Saya mahu jawab Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, rakyat Malaysia mahu pilihan raya adil.

"Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, rakyat Malaysia mahu Umno BN Tumbang.

"Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, rakyat Malaysia ingin berikan mesej yang jelas jangan rampas hak rakyat Malaysia," katanya penuh semangat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: