28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
DHAKA - Angka kematian akibat bencana industri terburuk di Bangladesh
melepasi 800 orang semalam selepas pasukan penyelamat mengeluarkan
berpuluh-puluh lagi mayat dari bawah timbunan bangunan sembilan tingkat
yang runtuh dekat sini bulan lalu.
"Angka kematian kini mencecah 803 orang dengan 790 mayat ditemui di
bawah runtuhan dan 13 mangsa meninggal dunia di hospital," kata pegawai
koordinasi bantuan bencana tersebut, Leftenan Mir Rabbi.
Kira-kira 3,000 pekerja sedang bertugas di dalam Plaza Rana sebelum bangunan itu runtuh.
Bangunan tersebut menempatkan lima buah kilang pakaian yang mengeluarkan jenama terkenal Barat seperti Primark dan Mango.
Pegawai penyelia operasi bencana, Jeneral Siddiqul Alam Sikder
berkata, sejumlah 2,437 orang terselamat dalam bencana tersebut yang
berlaku di bandar Savar.
Menurutnya, bau busuk mayat-mayat yang masih terperangkap di tingkat
bawah bangunan tersebut menandakan angka kematian akan terus meningkat.
"Kami menjangka lebih banyak lagi mayat ditemui memandangkan operasi
mencari masih belum sampai ke bahagian bawah bangunan," kata pegawai
berkenaan.
Tambahnya, usaha mengenal pasti identiti mangsa menjadi sukar kerana mayat-mayat itu mulai reput. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan