09 Mei 2013

Lapan maut kapal kargo rempuh menara

28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

GENOA - Sebanyak lapan orang dikhuatiri mati selepas sebuah kapal kargo hilang kawalan lalu melanggar menara kawalan di Pelabuhan Genoa di sini semalam.

Pelabuhan Genoa merupakan yang paling sibuk di Itali.

Menara setinggi 50 meter itu runtuh dalam pelanggaran itu yang berlaku pada waktu malam.
Pihak bomba berkata, beberapa orang tercampak ke dalam air, manakala sebahagian lagi terperangkap di dalam sebuah lif yang terjunam ke dalam laut.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang lelaki berusia 50 tahun dari bawah runtuhan menara itu 12 jam kemudian.

Mangsa kini dirawat di hospital.

Setakat ini, sebanyak tujuh mayat ditemui di dalam laut oleh pasukan penyelam dengan seorang lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Ketika kejadian, kapal kargo Jolly Nero sedang bergerak dengan mematuhi protokol pelayaran ke arah menara kawalan tersebut. Kapal itu sepatutnya membelok ke arah lautan luas untuk menuju ke bandar Naples.

Namun, Jolly Nero yang dibina pada 1976 itu hilang kawalan dan merempuh menara kawalan.

"Tidak banyak yang kami tahu tentang punca kemalangan ini. Ia sungguh di luar jangkaan dan sukar untuk diterangkan," kata Daniele Bo yang merupakan jurucakap pemilik kapal berkenaan, firma Messina & Co.
"Kapal itu membawa beberapa kenderaan industri, sebuah treler dan sejumlah kontena," tambahnya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa membuka kertas siasatan kemalangan tersebut dan kapten kapal kini ditahan polis untuk disoal siasat.

Kapal tersebut cuma mengalami kerosakan kecil dalam pelanggaran itu.

Jolly Nero merupakan kapal sepanjang 200 meter dengan lebar 30 meter dan boleh membawa muatan melebihi 40,500 tan. - AFP


Tiada ulasan: