09 Mei 2013

MP Kuala Nerus yakin dapat laksana lima agenda

28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali melahirkan keyakinan dapat melaksanakan lima agenda seperti yang dijanjikan sekiranya dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Setelah menang pada PRU13 Ahad lalu, beliau yakin kelima-lima agenda yang dienaraikannya boleh dilaksanakan walaupun sebagai ahli parlimen pembangkang.

Sebagai contoh kata beliau, agenda agama, yang akan melahirkan masyarakat beriman dan bertakwa serta berakhlak boleh dicapai menerusi program-program di surau dan masjid.
"Yang lebih teras kepada melahirkan masyarakat beriman dan bertakwa. Kalau saya tak mampu masuk ke masjid kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan, mungkin saya boleh masuk ke masjid-masjid yang bukan dikuasai sepenuh oleh kerajaan,” ujarnya dipetik Buletin Online.
Katanya, agenda ekonomi berkat pula tidak semestinya memerlukan menjadi pemerintah untuk dilaksanakan.

Jelasnya, konsep kempen memberi keselesaan kepada rakyat bahawa ekonomi bukan sebenarnya dijalankan oleh kerajaan.

Beliau berkata, di peringkat Kuala Nerus, kalau hendak dijadikan ia sebagai sebuah 'hub' pelancongan, perniagaan berasaskan pelancongan boleh diwujudkan, walaupun tanpa bantuan kerajaan.

Selain itu, tambahnya agenda ketiga ialah ilmu dan maklumat yang boleh dilaksanakan dengan penggalakkan penubuhan sekolah-sekolah rakyat, pusat-pusat ilmu, tuisyen dan pendidikan swasta kerana ia akan menyumbang kepada pembangunan ilmu.

Beliau menambah, agenda sosial melibatkan masyarakat yang cakna dan konsep cakna rakyat juga tidak memerlukan kerajaan dan boleh diamalkan sesama ahli masyarakat.

"Kerana konsep ini hak rakyat, beri kepada rakyat. Kalau kita tengok agenda Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Negara Berkebajikan bukan bermakna kerajaan memberi kebajikan semata-mata.

"Ia ada  dua hala, kerajaan memberi kepada rakyat dan rakyat sesama rakyat memberi kebajikan, ia ada dua elemen yang kena faham.

“Jadi, kita boleh buat penubuhan satu tabung untuk umat Kuala Nerus ini, iaitu tabung kebajikan (yang) boleh membantu mereka (dalam) pelbagai segmen kebajikan, segmen pendidikan, orang miskin, orang susah dan pelbagai bentuk bantuan,"jelasnya.
Justeru, bagi melaksanakan agenda tersebut, beliau membuka peluang kepada mana-mana warga Kuala Nerus yang mahu bersama melaksanakan amal kebajikan dengan cara mewakafkan sekeping tanah untuk tujuan pembangunan sebuah pusat pendidikan dan kebajikan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: