Kenangan di pagi 20 april hari penamaan calon.
28 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Pagi 6 Mei 2013 adalah pagi yang paling getir dalam sejarah hidup ini. Kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Diraut wajah seseorang mungkin kita lihat tenang dan sabar namun mungkin sebaliknya dalam jiwa yang mungkin berkecamuk dan bergelora.
Apapun saya tabahkah diri ini untuk menghadapi dunia baru yang datang dalam kehidupan dan keluarga ku yang kerdil ini.
Seingat saya di malam kemenangan yang saya perolehi pada pru 12 di DUN Titi Serong, saya mengumpulkan isteri dan anak-anak sambil berkata kepada mereka bahawa diri ini sekarang bukan lagi milik keluarga sepenuhnya, sekarang diri ini adalah milik semua orang dan saya memohon maaf kepada mereka sekiranya saya jarang berada disisi mereka.
Selepas saya tidak menang di Kuala Kangsar, saya katakan kepada mereka bahawa sekarang ini masanya saya banyak waktu dengan mereka, itulah realiti yang terpaksa saya sebut kembali kepada mereka selepas sekian lama jarang berada di rumah.
Rasanya untuk Kuala Kangsar saya mula berada disini sejak Oktober 2011, sejak Mac 2012 pula saya berulang pergi dan balik dengan kerap banyak tidur di rumah sewa dari balik ke Parit Buntar. Puratanya 4 hari di Kuala Kangsar dan 3 hari di Parit Buntar dalam seminggu.
Disebabkan pejabat ADUN masih beroperasi seperti biasa banyak masalah dapat diselesaikan oleh 3 pekerja yang sedia ada.
Untuk saat terkahir saya berada di Kuala Kangsar sekitar 3 minggu tanpa balik ke Parit Buntar. Bermula dari pembubaran Parlimen dan Penamaan calon saya sudah tidak balik lagi kerumah.
Namun untuk mereka yang sentiasa bersama saya mereka tahu saya tidak akan lekang dari menghubungi Isteri dan anak-anak setiap hari bertanya khabar. Setiap hari kami akan berbalas talefon, kalau bukan isteri saya dulu yang menghubungi dia.
Paling sibuk saya akan hubungi isteri bertanyakan keadaan rumah dan sembahyang anak-anak dilewat malam sebelum kepala ini diletakkan ke bantal untuk berehat sebentar.
Syukur alhamdulillah, Allah anugerahkan seorang isteri yang solehah yang terus menjadi pembakar semangat untuk berjuang dengan dia cukup memahami bebanan tugas yang saya kena tanggung apa lagi selepas diamanahkan menjadi calon parlimen.
Setiap permasalahan kami bincang bersama termasuk soal dana untuk melicinkan pergerakan kempen. Doakanlah semuanya telah diinfakkan secara ikhlas demi kehidupan abadi yang kita akan temui kelak.
Sekitar jam 7.20 pagi 6 Mei saya mula mengirim pesanan ringkas kepada semua AJK kawasan Kuala Kangsar dan semua Cawangan PAS dalam Parlimen Kuala Kangsar dengan sms dibawah :-
" Assalamualaikum....alhamdulillah kita sama2 berkerja keras untuk P67,N34 dan N35 namun ketentuan dari Allah wajib kita terima dgn tenang dan sabar, perjuangan mesti kita teruskan, jgn putus asa dan kecewa. tkasih dan tahniah dgn usaha gigih dan semangat juang yang tinggi semua pihak....idhamlim"
Selang seketika saya berbincang dengan isteri dan anak-anak dan membuat keputusan untuk kembali ke rumah di Parit Buntar, teras rindu kepada rumah sendiri selepas sekian lama di Kuala Kangsar. Dengan berat hati saya sekali lagi kirimkan sms dibawah kepada mereka :-
"Salam...hari ini ana akan berada dirumah chandan puteri hingga jam 12 thari ini, izinkan ana balik pt buntar sebentar bersama keluarga sebentar utk cari ketenangan. "
Dikala itu airmata mula membasahi pipi ini tanpa disedari, saya sudah tidak dapat menahan kesedihan yang disembunyikan sejak semalam. Terasa berat untuk meninggalkan Kuala Kangsar walaupun saya tahu akan datang dengan segera untuk pelbagai program termasuk majlis kesyukuran yang menjadi amalam biasa kalau menang atau kalah.
Datang dahulu dengan beberapa helai baju, kalau nak balik barang sudah selori rasanya.
Alhamdulillah selepas sms kedua dikirim sahabat seperjuangan mula sampai kerumah untuk bertemu muka.....
Orang yang pertama datang ialah ahli baru PAS yang menjadi penyokong kuat selepas dia menyerahkan borang PAS beberapa bulan lepas.....
(bersambung....)
3 ulasan:
Assalam drs. idham. Kami pas kawasan dan cawangan kuale ni udoh jenuh dengan perjuangan kaloh menang ni. kita udoh koje kuat...kita maklum Allah masih tangguhkan kemenangan ini, adele sebab musababnye. Tapi kita teghuih usahe Insya Allah kemenangan bakal tiba..... kejaaapppp je lagi....TAKBIRRRR....
Salam buat semua.... Gua sudah bersama PAS sejak 1978, tahun kejatuhan PAS Kelantan. Kami diasuh dengan baik dan terus redha setiap kekalahan dan bersyukur dengan kemenangan. Kita jatuh tetapi kita terus bangun sehingga hari, kita kalah pada pilihan raya tetapi kita menang dalam mendidik umat Islam dan itulah kemenangan terbesar kita yang tidak siapa dapat menafikannya. Zaman kegelapan PAS ialah pada awal 80 an apabila kita hanya memenangi satu kerusi parlimen sahaja iaitu di Pengkalan Chepa.
Allah lah tempat kita mengadu dan sedar tidak sedar kita diberi kemenangan sikit demi sedikit, kawasan hitam untuk PAS berjaya kita putihkan. Kita boleh menunggu 55 tahun dan kita boleh menunggu untuk 5, 10 atau 15 tahun lagi kerana perjuangan kita bukan kerana harta tetapi kerana mencari keredhaan dan amal yang akan kita bawa selepas meninggal dunia yang fana ini. Salam Perjuangan dan teruskan dengan lebih kuat kerana kemenangan pasti akan berlaku walau pun kita tidak merasakannya tetapi ia untuk anak-cucu kita..... Insyaallah.
tinggalkan barang selori di kuala... cina islam kena kembali PRU akan datang... ahli parlimen kami..
Catat Ulasan