21 November 2013

Dewan Ulamak aktif gerak media baru

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013
Sebahagian perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS ke-52.

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Pusat telah menggerakkan media baru secara aktif sejak dua tahun yang lalu.

Ini kerana dakwah hari ini menuntut alim ulama sekalian bergerak lebih jauh melepasi rutin biasa dengan melihat ruang besar yang perlu diisi iaitu media baru menerusi penggunaan laman web dan laman sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain. 

“Maka harapannya ia menjadi ikutan pula pada Dewan Ulamak Negeri untuk menubuhkan khusus jabatan media baru ini,” kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ustaz Harun Taib.

Beliau juga menggesa peluang berkuasa perlu diambil untuk memperkukuhkan lagi institusi pendidikan rakyat yang diterajui oleh Ulamak Haraki PAS.

Katanya, bukan sahaja institusi yang sedia ada diperkukuhkan malah institusi pendidikan baru mesti dibina oleh alim-ulamak sama ada secara persendirian atau menerusi Urusan Ulamak Kawasan.

Menurutnya lagi, institusi pendidikan rakyat bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya pengajian tinggi menjadi aset untuk melahirkan generasi masa depan yang berakhlak dan berakademik.

“Di saat pendidikan kebangsaan lebih menumpukan pada pembinaan akademik berbanding sakhsiyah maka intitusi pendidikan rakyat selalu menjadi alternatif terbaik bagi masyarakat sekitar,” ujarnya dalam ucaptama pada Muktamar Tahunan DUPP kali ke-52 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini pagi ini.

Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada muktamar yang bertemakan ‘Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan’.

Beliau menambah, institusi pendidikan rakyat bakal melahirkan insan berilmu dan bersakhsiyah tinggi dan amanah sebagai generasi masa depan yang menjadi tonggak kepada perjuangan bakal pemerintah negeri dan negara ini.

Begitu juga, ujarnya dengan institusi pendidikan peringkat negeri di bawah kerajaan perlu dibantu oleh para alim ulama dengan pelbagai idea penambahbaikan dan urus tadbir yang cemerlang.

Katanya, ia mesti dipacu dengan cemerlang dengan peningkatan bidang dan kursus yang ditawarkan sehingga akhirnya menjadi pusat ilmu Islam yang menjadi tumpuan.

Beliau juga menggesa Ulamak Haraki agar bergiat cergas dalam penulisan akademik secara personal atau secara berkumpulan di bidang politik, pengurusan dan ekonomi Islam.

Menurutnya, masyarakat memerlukan pencerahan dalam isu-isu semasa khususnya melibatkan persoalan ekonomi.

“Idea-idea pengurusan dan pembangunan negara yang terpendam dalam al-Quran dan al-hadis mesti dikemukakan kepada rakyat dalam bentuk tulisan ilmiyah dan akademik serta penghayatannya.

“Penulisan boleh mencakupi sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial Islam,” katanya.

Justeru, katanya buku-buku ilmiah mesti diterbitkan secara berkala oleh Dewan Ulamak Negeri dan Pusat sementara diskusi perlu dibuat untuk merancakkan perbincangan ilmiyah.

Beliau menambah, penulisan berbentuk kertas kerja dan artikel mesti diperbanyakkan manakala seminar dan kolokium perlu dirancakkan.

Katanya kagi, kehadiran Majalah Fikrah yang telah diterbitkan oleh Lajnah Penerbitan ketika Multaqa Ulamak baru-baru ini boleh dijadikan medan mengasah bakat penulisan.

“Sebagai permulaan untuk sesi akan datang Dewan Ulamak mensasarkan penerbitan dua buah buku akademik bertajuk Pemerintahan Islam dan Perundangan Islam tulisan saya sendiri. Kedua-duanya sedang dalam proses suntingan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: