21 November 2013

Kukuhkan muafakat, jangan terpedaya senyuman beracun

17 Muharram 1435H. [MOD] -

PETALING JAYA: PAS melihat pemuafakatan yang wujud dalam perjalan parti telah menjadikan parti itu bertambah kuat serta memperolehi sokongan dari setiap lapisan masyarakat dan kaum.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-54 malam tadi menekankan, kejayaan besar PAS juga adalah apabila mengadakan Tahaluf Siyasi bersama PKR, DAP yang telah melihat sokongan masyarakat melonjak serta mendapat sokongan padu badan bukan kerajaan (NGO).


Jelasnya, perpaduan ini telah membuktikan kejayaan apabila Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan minoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

"PAS melihat pemuafakatan serta kerjasama yang wujud selama ini telah menjadikan kita bertambah kuat serta mempunyai sokongan padu dari semua lapisan kaum,

"Malah kerjasama yang wujud antara PKR dan DAP serta sokongan padu NGO telah menafikan BN pada PRU13 yang hanya mendapat sokongan minoriti dari rakyat Malaysia," ucapnya.

Katanya lagi, dalam perjalan Pakatan Rakyat untuk membentuk kecemerlangan dalam politik negara, PAS mahupun rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat sentiasa menghadapi pelbagai masalah dan karenah.

Namun, setiap permasalah tersebut dihadapi dan diselesaikan dengan cara perundingan yang baik dalam mencari penyelesaian.

"Perbincangan melalui Majlis Presiden mesti kita perkuatkan untuk mencari kata sepakat, apa jua masalah yang timbul kita selesaikan dengan baik.

"Pemuda perlu memain peranan yang baik dalam usaha mencari penyelesaian ini agar kecemerlangan dan pemuafakatan ini kita dapat kekal dan bentuk dengan lebih baik.

"Kerjasama antara PKR dan DAP perlu kita perkukuhkan, permasalahan yang timbul kita selesaikan dengan lebih baik dengan perbincangan dalam bentuk harmoni," jelas beliau lagi.

Senyuman beracun

Mohamad yang turut menasihati dalam suasana kecemerlangan, PAS jangan mudah tergoda dengan godaan dan senyuman Umno yang beracun.

Katanya, Umno akan cuba mendekati serta menjalinkan kerjasama dengan PAS di kala mereka berada dalam keadaan lemah.

"Dalam keadaan suasana kecemerlangan kita dalam politik negara, kita jangan mudah tergoda dengan senyuman serta lambaian Umno untuk bekerjasaman dengan kita.

"Sejarah telah ada sebelum ini, dalam keadaan lemah mereka melambai-lambai kita untuk berbincang dan menjalinkan kerjasama dan bila mereka kuat kita dilemparkan begitu sahaja. Itu perlu kita ingat jangan lupa.

"Tahun 2008 kita menang besar, BN hilang majoriti 2/3 di parlimen dan mereka berhajat untuk bertemu dan berbincang, kita tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan mereka dalam soal kehidupan rakyat dan negara tetapi kita tidak termakan dengan pujukan untuk jalin kerjasama, cukup sekali apa yang telah mereka lakukan," kata beliau sambil laungan takbir dari perwakilan.

Beliau yang mengesa agar barisan Pemuda PAS diperkuatkan lagi pada masa akan datang bagi menjadi nadi kepada perjuangan PAS nanti.

Katanya lagi, Pemuda perlu menjadi peneraju kepada isu-isu semasa terutamanya dalam konflik memerangi rasuah serta pemeliharaan alam sekitar.

"Saya mahu Pemuda PAS menjadi peneraju dalam isu-isu semasa terutama dalam usaha kita memerangi rasuah yang semakin meningkat mahupun dalam soal alam sekitar.

"Kita lihat isu alam sekitar masyarakat Cina terus berada di hadapan jika dibandingkan kaum lain dan ini perlu kita beri perhatian, jadilah pemuda yang tampil dengan satu misi yang baru.

"Kita perlu jadi juara dalam segala urusan yang melibatkan rakyat, kita perlu kembalikan kegemilangan yang kita perolehi sebelum ini," sambung beliau.

Beliau yang turut kagum dengan pencapaian DPPM dalam meletakkan Unit Amal sebagai anggota sukerela yang disegani di negara ini.

Baginya sumbangan yang dilakukan oleh Unit Amal dalam urusan-urusan kemasyarakat bukan sahaja mencipta nama di Malaysia tetapi turut dihargai di peringkat antarabangsa.

"Sekarang kita berada dalam dunia tranformasi dan bila berada dalam zaman ini, kita akan melihat kekecohan akan berlaku.

"Tetapi saya cukup yakin dengan kepimpinan muda yang PAS ada sekarang ini segalanya akan dapat kita hadapi.

"Zaman saya sudah pun berlalu dan kepimpinan Pemuda yang ada sekarang ini akan memgembalikan kepimpinan Islam di dunia ini pada masa akan datang.

"Saya mahu Pemuda meneruskan peranan mereka untuk kita mencapai kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU14 nanti, harapan akan saya letakkan kepada Pemuda dalam menerajui apa yang saya inginkan," ucap beliau lagi.

Mohamad yang berharap muktamar kali ini akan berlangsung dengan baik kerana setiap pihak sentiasa memerhati apa yang berlaku terutamanya dari Umno.

Katanya keperihatinan mereka terhadap muktamar ini membuktikan PAS berada dalam persada politik serta sebuah parti yang kuat dan disegani oleh pihak lawan

Sebelum itu majlis perasmian bagi Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-54 bermula dengan pemeriksaan perbarisan Jabatan Amal dan barisan Exco DPPM tepat jam 8.15 malam, di Dewan Sivik, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Pemeriksaan perbarisan itu disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang juga merupakan perasmi muktamar dengan diiringi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan.

Sejurus kemudian, para pemimpin DPPM, pemerhati dan perwakilan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan Ustaz Tarmizi Ali.

Seramai 740 perwakilan yang hadir pada Muktamar  DPPM yang berlangsung selama dua hari mulai 20 November hingga 21 November.

Turut hadir pada malam perasmian Muktamar Tahunan DPPM ini adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, dan Penolong Setiausaha PAS Pusat, Ahmad Sabky Yusof.

Selain pemimpin PAS, antara rakan Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua DAPSY, Teo Kok Siong, wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta tetamu jemputan dari dalam dan luar negara.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: