21 November 2013

Muktamar ialah hari besar kami yang penuh kenangan

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Dr Riduan Mohamad Nor,21 Nov 2013
Gerakan Islam ini terus membesar dan didokongi oleh pelbagai jalur masyarakat serta menjadi pesaing utama regim negara ini. Muktamar PASpula menjadi medan pertemuan ahli dan pemimpin untuk merencahi perjalanan bahtera jamaah serta wadah paling tepat untuk introspeksi kegiatan parti sepanjang satu sesi.

Muktamar PAS saban tahun adalah medan ukhuwwah yang sangat membahagiakan, teman-teman yang datang dari seluruh belahan negara, bersampin lengkap seperti ingin diakadnikah, senyum mekar mengambarkan muktamar ialah hari besar dalam kalendar aktivis dakwah negara ini. 
Aku memerhatikan secara dekat perjalanan muktamar PAS ialah semenjak di bangku sekolah iaitu pada tahun 1986 di masjid Rusila Terengganu. Peserta muktamar yang datang berbondong-bondong ke Rusila dengan memakai kain pelekat serta berbaju Melayu. Sesekali laungan takbir yang bersemangat menyulam ucapan pembahas dan pimpinan, pada malamnya kampung nelayan bersejarah itu dipadati puluhan ribu rakyat yang hadir untuk mendengar ceramah pimpinan utama dan juga tetamu jemputan muktamar yang diundang dari luar negara.

PAS waktu itu belum mempunyai akhbar sendiri, berita tentang PAS  begitu hodoh di kaca mata media perdana negara ini. Antara medium utama maklumat ialah ceramah dan juga kaset-kaset yang dijual dengan harga yang murah. Kerana jurang maklumat inilah maka muktamar adalah medan ukhuwwah dan medan maklumat paling penting kepada ahli-ahli PAS.

Masa bergulir pantas, perkembangan teknologi dan peredaran zaman turut menyimbah perubahan kepada muktamar PAS. Di kampus aku mengikuti dengan lebih dekat muktamar, seperti muktamar yang diadakan di markas tarbiyah Taman melewar. Berbeza dengan dekad 1980-an,  Dewan Bahasa Dan Pustaka juga antara tempat yang popular untuk muktamar iaitu sebelum markas tarbiah PAS  Pusat didirikan di Taman Melewar. Di Dewan Syed Nasir DBP juga pada tahun 1982 juga telah menyaksikan transformasi kepimpinan yang dinamakan kepimpinan ulama.

Markas Tarbiah Taman Melewar pada awal dekad 1990-an begitu meriah terutama dengan perbarisan unit amal, sebuah entiti dalam Dewan Pemuda PAS. Jika muktamar berlangsung di Taman Melewar maka aktivis PAS Wilayah  Persekutuan dan Selangor akan menjadi tuan rumah. Muktamar juga bukan sekadar perbahasan yang hangat, namun juga direncah menarik dengan medan jual beli, peniaga begitu sibuk mempamerkan dagangan, riuh rendah tawar menawar sehingga muktamar menjadi pesta besar keluarga PAS.

Muktamar PAS terus semakin hebat apabila PAS menang di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor.

Kini muktamar PAS menjelma lagi dengan seribu tarikan pesona, malah turut disensasikan oleh media perdana dan juga fenomena media baru.

PAS kini di persada utama gerakan Islam dunia, keberadaan harakatul ummah ini begitu dirasai, maka menjadikan muktamar semakin berseri . Insya-Allah, harakatul ummah ini akan terus relevan kepada rakyat negara ini selagi mana ia kekal di atas orbit Islam. Selamat bermuktamar dan memilih saff kepimpinan bagi perwakilan sekalian. Moga Allah memberikan kekuatan  kepada kita dijalan juang ini dengan dipandu oleh petunjuk Rabbani.

Dr Riduan Mohamad Nor, Ketua Penerangan DPPPM

Tiada ulasan: