21 November 2013

Peranan Muslimat bukan lagi sekadar 'pelengkap'

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,20 Nov 2013
SHAH ALAM: Peranan Muslimat dalam keadaan negara yang penuh mencabar ini tidak boleh lagi berada pada takuk 'pelengkap' atau 'penyeri' perjuangan semata-mata.

Sebaliknya ujar Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof, peranan muslimat muslimat kini perlu mengambil posisi "jantung" kepada perjuangan parti.

"Peranan Muslimat di posisi Jantung Gerakan Islam (PAS) adalah sangat penting, bukan sahaja sebagai individu penyeri atau pelengkap tetapi juga sebagai entiti penggerak utama memastikan kejayaan program-program merakyatkan perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah malam ini.

Menurut beliau lagi, pada masa yang sama muslimat tidak boleh mengabaikan tugas utama mereka sebagai pendidik pertama di dalam institusi keluarga di samping tidak mengenepikan peranan mereka sebagai pemimpin di kalangan golongan wanita dalam konteks pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat serta bernegara.

Tambahnya, muslimat mestilah menjadi contoh dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, juga bertindak sebagai agen perubahan ke arah masyarakat dan negara yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.

Lebih-lebih lagi katanya, dalam suasana masyarakat yang berdepan serangan penyakit sosial yang sangat dasyat.

"Dalam suasana masyarakat yang memerlukan ikon sebagai tanda aras, Muslimat yang terlibat dalam gerakerja dakwah di setiap peringkat sebolehnya menjadi ikon dalam konteks masing-masing.

"Ini kerana akhlak yang ditunjukkan, keperibadian yang ditonjolkan, kebolehan yang dipamerkan dan pengorbanan yang diberikan, semuanya itu adalah pencetus kepada kesedaran sahabat-sahabat seperjuangan yang lain," katanya lagi.

Justeru, katanya dakwah yang penuh hikmah dan fatanah daripada tangan-tangan dan hati budi para Muslimat adalah suatu yang sangat didambakan ummah.

"Apatah lagi tanggungjawab muslimat bagi memastikan kelangsungan Generasi Hari Esok, maka mahu tidak mahu, suka tidak suka - wajib untuk kita berubah dan berusaha sedaya mungkin memperbaiki dan memperelokkannya ; bukan hanya dengan perasaan, bukan lagi hanya dengan perkataan, tetapi kini wajib bangkit merubahnya dengan tangan dan perbuatan," katanya.


Sementara itu Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali adalah yang ke-53 dengan tema ’Muslimat Mantap, Perjuangan Berkat, Negara Selamat’.

Kira-kira 800 perwakilan dari seluruh negara mula memenuhi Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah seawal jam 7.00 malam untuk mengikuti muktamar Dewan Muslimat kali ini.

Tiada ulasan: