21 November 2013

Isu kalimah Allah bukti Umno peralat Islam

17 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,21 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Jawapan menteri di Dewan Rakyat mengenai kalimah Allah mengesahkan lagi keyakinan umum bahawa Umno memperalatkan Islam untuk kepentingan politik, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar(gambar).

"Jawapan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom) di Dewan Rakyat mengesahkan keyakinan umum bahawa Umno jual agama, peralat Islam bagi kepentingan politik.

"Di Semenanjung mereka begitu bengis menghalang orang-orang Kristian guna kalimah Allah. Di Sabah dan Sarawak, mereka yang luluskan," kata beliau.
Ketika mengemukakan soalan kepada Jamil Khir di Dewan Rakyat, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, bermula dari April 2011, kabinet telah pun bersetuju membenarkan penganut Kristian di Sabah dan di Sarawak menggunakan kalimah Allah.

Beliau mempersoalkan, bagaimana kabinet boleh membuat keputusan sedemikian sedangkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mendakwa akan jadi murtad mereka yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian.

Apabila diasak oleh Mahfuz, Jamil Khir menjawab dengan menekankan penggunaan "ten point solution" atau "penyelesaian 10 perkara" yang membenarkan Bible dicetak dalam Bahasa Malaysia untuk Sabah dan Sarawak termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Maknanya menteri jaga agama, juga seorang ustaz (iaitu Jamil Khir), bersetuju dalam kabinet orang Kristian boleh guna kalimah Allah. Itu sahaja," ujar Mahfuz.

Baru-baru ini, seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak dalam upacara ibadat mereka, termasuk di dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat oleh kabinet.

Beliau berkata, kabinet memutuskan untuk berpegang kepada penyelesaian 10 perkara, yang membenarkan pengimportan dan pencetakan Bible dalam mana-mana bahasa di Malaysia, termasuk al-Kitab yang menggunakan kalimah Allah.

"Kabinet telah membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan kerana isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Mereka bimbang Bible Bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Alah akan diharamkan. Justeru Kabinet merasakan perlu ada penjelasan,” akhbar Sin Chew Jit Poh memetik beliau sebagai berkata.

Penyelesaian 10 perkara, antara lain juga menyatakan tidak ada halangan bagi penganut Kristian untuk membawa Bible dalam apa bahasa dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung.

Bagaimanapun, Bible dalam Bahasa Melayu atau Indonesia yang dibawa masuk atau dicetak di Semenanjung mestilah dicetak dengan perkataan ‘Penerbitan Kristian’ pada muka hadapannya.

Tiada ulasan: